Ahad, 29 Jun 2014

DAP: Zahid tak layak jadi menteri dalam negeri

MALAYSIAKINI


 


DAP menggesa perdana menteri segera menggugurkan Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi dari Jemaah Menteri atau menukar portfolio menteri dalam negeri itu, yang dianggap sebagai pemimpin paling tidak sesuai untuk jawatan tersebut.

Naib pengerusi DAP Teresa Kok berkata, Najib tidak menunjukkan sikap yang serius untuk melaksana transformasi kerana tidak menukar portfolio para menteri, termasuk Zahid.

Beliau merujuk kepada tindakan Zahid semalam yang menyalahkan RSN Rayer dalam kejadian kepala lembu yang dicampakkany ke luar rumah ADUN DAP tersebut.

Selain itu, beliau juga membangkitkan mengenai kenyataan Zahid yang menimbulkan kontroversi sebelum ini,

"Jelas Zahid tidak tahu apa yang betul atau salah, dan sekali lagi persoalan timbul adakah beliau komited dalam mempertahankan kedaulatan undang-undang, keamanan dan keharmonian dalam negara ini.

"Dalam tempoh setahun lebih Zahid telah membuktikan dirinya adalah Menteri Dalam Negeri yang paling tidak sesuai dalam sejarah negara," kata beliau dalam satu kenyataan hari ini.

Kenyataannya itu juga merujuk pada kenyataan Zahid yang menimbulkan kontroversi sebelum ini.

Oktober tahun lalu, Malaysiakini melaporkan Zahid memberi gambaran bahawa lebih baik jika suspek kes jenayah ditembak terlebih dahulu sebelum siasatan dijalankan.

Awal tahun ini, Zahid berkata ugutan sebuah NGO yang menawarkan wang untuk menampar Teresa bukan satu jenayah.

Semalam satu portal berita melaporkan, Zahid menasihati Rayer supaya sedar bahawa kenyataan ADUN tersebut – yang menggelar Umno sebagai parti "celaka" – menimbulkan kemarahan orang ramai.

Zahid dilaporkan berkata bahawa sebagai seorang ahli politik, beliau bersimpati dengan Rayer.

“Tapi itulah harga yang patut dibayar jika bermulut celupar,” kata Zahid seperti dipetik dalam laporan portal berita tersebut.

Kenyataan Zahid itu menimbulkan kecaman pelbagai pihak, termasuk dari komponen BN sendiri yang menyifatkan beliau sebagai menteri yang gagal memahami sensitiviti penganut agama Hindu.

Ketua Biro Undang-undang dan hak asasi parti itu, Baljit Singh semalam berkata sebagai menteri dalam negeri, Zahid perlu memupuk keamanan dan keharmonian dan bukannya menggalakkan keganasan.

Tiada ulasan: