Isnin, 30 Jun 2014

ABIM kesal kenyataan Zahid Hamidi

MALAYSIAKINI


 


Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM) amat kesal dengan respons yang diberikan oleh Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi berkaitan insiden kepala lembu yang ditinggalkan di luar rumah seorang ahli politik beragama Hindu di Pulau Pinang.

Menurut Presiden ABIM, Amidi Abd Manan, perbuatan meletakkan kepala lembu di pintu pagar ADUN Seri Delima, RSN Rayer "jelas adalah satu penghinaan terhadap penganut agama Hindu".

Oleh itu, katanya, respons yang diberikan oleh Zahid terhadap insiden itu "tidak mencerminkan ajaran Islam".

"Islam mengajar umatnya agar menghormati agama lain dan menegah sebarang perilaku yang bermotifkan penghinaan," kata Amidi dalam satu kenyataan.

"Tegahan ini jelas disebut dalam Surah al-An'am ayat 108 yang menegaskan bahawa penghinaan terhadap sembahan agama lain akan menyebabkan penganut agama lain menghina agama Islam.

"Respons yang sedemikian memberikan imej yang negatif selaku pemimpin 'negara Islam' yang tidak mempraktikkan ajaran al-Quran," tambanya.

Sepatutnya, tegas Amid lagi, kenyataan berkaitan status Malaysia sebagai negara Islam mestilah disertai dengan perkataan, sikap dan tindakan yang benar-benar menepati ajaran Islam terutamanya perkara yang berkaitan dengan perhubungan antara pelbagai agama.

Sebelum ini, Zahid dilaporkan berkata perbuatan meletak kepala lembu di rumah ADUN Seri Delima itu sebagai "harga yang perlu dibayarnya kerana keceluparan mulutnya'.

Tiada ulasan: