Rabu, 28 Mei 2014

Zahid Hamidi Selar Portal Berita Putar Belit Ucapan

alt
 
Radhi Razak 


TELUK INTAN- Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi hari ini menyelar portal berita yang sengaja memutarbelitkan ucapan serta kenyataan beliau Sabtu lepas berkaitan RELA dan mengundi.

Ahmad Zahid, yang juga Naib Presiden Umno, berkata portal berita berkenaan begitu kreatif kerana berjaya menyalah tafsir serta memanipulasi ucapannya.

Ditanya sama ada beliau marah kepada portal itu, Ahmad Zahid yang juga anggota Parlimen Bagan Datoh berkata:

"Saya sukacita yang amat sangat kerana ia memperlihatkan kedangkalan penulis berkenaan dan bagaimana mereka tidak cerdik dalam mentafsirkan apa yang saya katakan.

"Saya ucapkan tahniah kerana mereka cukup kreatif di dalam melakukan kerja dengan fakta dan menyalahtafsirkan apa yang saya nyatakan," katanya kepada pemberita selepas menyerahkan surat tawaran dan kunci rumah program Rumah Mesra Rakyat 1 Malaysia (RMR1M) di Kampung Pinang Sebatang di sini malam tadi.

Semalam, sebuah portal berita melaporkan Ahmad Zahid sebagai memberi amaran kepada anggota RELA bahawa beliau tahu siapa yang mengundi dan tidak mengundi semasa pilihan raya umum lalu.

Berikutan laporan portal itu, Pemuda PAS Perak dan Pemuda Pakatan Rakyat (PR) membuat laporan polis dengan mendakwa sebagai menteri, Ahmad Zahid tidak boleh menyalahgunakan kedudukannya untuk menimbulkan kerisauan orang lain.

Sementara itu, Pengerusi bersama Bersih Datuk S.Ambiga mendakwa Ahmad Zahid melanggar peraturan Akta Kesalahan Pilihan Raya kerana memberi amaran kepada anggota RELA dan meminta Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) mengambil tindakan terhadap beliau.

Pengerusi SPR Tan Sri Abdul Aziz Mohd Yusof berkata kenyataan Ahmad Zahid bahawa beliau mengetahui anggota RELA yang tidak mengundi, tidak melanggar peraturan pilihan raya dan menyifatkannya sebagai nasihat bagi menggalakkan golongan berkenaan yang mendaftar sebagai pemilih pulang mengundi.

Sementara itu, pada majlis berkenaan Pengerusi Syarikat Perumahan Negara Berhad Datuk Abdul Latiff Ahmad berkata sebanyak 40 daripada 115 permohonan bagi perumahan syarikat itu di Parlimen Teluk Intan diluluskan.

"Daripada jumlah itu, sebanyak 30 unit (merangkumi 3 bilik tidur dan 2 bilik air berkeluasan antara 700 kaki persegi sehingga 1,000 kaki persegi) telah siap dibina dan sejumlah 10 unit sedang dalam proses pembinaan," katanya.

Tiada ulasan: