MH370


KUALA LUMPUR - Waris penumpang pesawat Malaysia Airlines (MAS) MH370 yang hilang pada 8 Mac lepas meminta pihak MAS memberi penjelasan kepada keluarga pesawat berkenaan berhubung data belum diproses laporan satelit yang dikeluarkan oleh firma United Kingdom Inmarsat hari ini.

Selamat Omar, 60, bapa kepada penumpang yang dikenali sebagai Mohd Khairul Amri, berkata beliau menerima e-mel selain panggilan telefon daripada pihak MAS sekitar pukul 9.30 pagi berhubung data tersebut.

"Dari e-mel yang diterima, saya mendapati data yang dikeluarkan adalah sama seperti mana dalam operasi menyelamat dan mencari dahulu.

"Tiada apa yang boleh dikesan untuk dijadikan panduan dan maklumat terbaru dari e-mel tersebut," katanya ketika dihubungi Bernama.

Sementara itu, S.Thenmoli, 26, adik perempuan kepada S.Puspanathan mengesahkan pihaknya tidak menerima sebarang maklumat terkini daripada MAS.

"Sehingga kini, saya tidak terima apa-apa maklumat terbaru sejak taklimat terakhir April lepas.
"Saya pun tidak mengetahui yang laporan data satelit diedarkan kepada waris keluarga hari ini," katanya.

Jabatan Penerbangan Awam (DCA) hari ini mengeluarkan data satelit belum diproses Inmarsat setebal 45 muka surat yang diguna untuk mengesan pola penerbangan pesawat Malaysia Airlines MH370 yang hilang.

Dalam kenyataannya, DCA berkata log data komunikasi daripada Inmarsat, syarikat komunikasi satelit Britain itu, dan keterangan mengenainya, dikeluarkan untuk membolehkan pembaca memahami data berkenaan.

Menurut kenyataan itu, log data yang disertakan bersama nota tambahan Log Unit Isyarat (9M-MRO) bagi MH370 disediakan Inmarsat.

Penerbangan MH370 bersama-sama 239 penumpang dan anak kapal dari Kuala Lumpur ke Beijing, hilang daripada skrin radar ketika terbang di ruang udara Laut China Selatan pada 8 Mac setelah berlepas dari Lapangan Terbang Antarabangsa KL pada 12.41 tengah malam.

Pesawat Boeing 777-200ER itu sepatutnya mendarat di Beijing pada 6.30 pagi hari sama.
Gerakan mencarinya, yang melibatkan bantuan beberapa negara dilancarkan, pada mulanya di Laut China Selatan dan kemudian di Lautan Hindi apabila pesawat itu dikatakan melencong daripada laluan asalnya.

Apabila analisis terhadap data satelit menunjukkan kedudukan terakhir pesawat itu di Lautan Hindi, Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak mengumumkan pada 25 Mac bahawa Penerbangan MH370 'berakhir di selatan Lautan Hindi.' - Bernama