Rabu, 28 Mei 2014

Kemangkatan Sultan Perak: PRK Teluk Intan Diteruskan - SPR


 
 
 
TELUK INTAN: Pilihan Raya Kecil (PRK) Teluk Intan akan diteruskan mengikut tarikh yang diwartakan pada 31 Mei ini, kata Setiausaha Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), Datuk Abdul Ghani Salleh. 
Pengumuman itu
 berikutan kemangkatan Sultan Perak, Sultan Azlan Shah pada Rabu.

Beliau bagaimanapun berkata, suruhanjaya itu menasihatkan semua yang terlibat dalam PRK Teluk Intan terutama parti politik yang bertanding supaya menghormati Almarhum Sultan Perak dengan menjaga tutur kata dan tingkat laku semasa berkempen.

“Selaras dengan kehendak undang-undang, SPR memutuskan bahawa Pilihan Raya Kecil P.076 Teluk Intan akan diteruskan mengikut tarikh yang diwartakan iaitu pada Sabtu 31 Mei 2014.

“Adalah disarankan semua pihak agar berkempen mengikut kehendak undang-undang, peraturan dan tata etika pilihan raya tanpa menimbulkan isu sensitif yang boleh menimbulkan rasa tidak puas hati mana-mana pihak,” katanya dalam satu kenyataan di sini, Rabu.

Sultan Perak, Sultan Azlan Shah, 86, mangkat pada pukul 1.30 tengah hari Rabu dan jenazah baginda akan dimakamkan di Makam Diraja Kuala Kangsar selepas solat Asar pada Khamis.

Berita kemangkatan Sultan Perak itu diumumkan oleh Menteri Besar Perak, Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir.

PRK Teluk Intan menyaksikan pertandingan satu lawan satu antara calon Barisan Nasional (BN), Datuk Mah Siew Keong dan calon DAP, Dyana Sofya Mohd Daud.

Pilihan raya kecil itu diadakan berikutan kematian penyandanganya, Seah Leong Peng akibat kanser pada 1 Mei lalu. Hari mengundi PRK Teluk Intan pada 31 Mei ini.

Tiada ulasan: