Rabu, 28 Mei 2014

Gerakan lebih teruk berbanding DAP

Mungkin Muhyiddin keliru, kerana jika PAS menyokong DAP, bagaimana pula dengan Umno yang menyokong Gerakan?
mahfuz_omar

PETALING JAYA: Ketua Penerangan PAS, Datuk Mahfuz Omar menyifatkan Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin keliru dengan apa yang diperkatakan olehnya.

Menurutnya, tidak adil untuk Muhyiddin menganggap tindakan Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang yang turun padang menyokong kempen Dyana Sofya Mohd. Daud dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Teluk Intan walaupun calon DAP itu menentang hukum hudud dianggap sebagai satu desakan politik.

“Mungkin Muhyiddin keliru, kerana jika PAS menyokong DAP, bagaimana pula dengan Umno yang menyokong Gerakan?” katanya sewaktu dihubungi oleh FMT.

Jelasnya lagi, sebelum ini Gerakan sendiri telah menghantar notis saman kepada pihak PAS dan Gerakan juga telah mengeluarkan kenyataan yang lebih keras berbanding DAP.

Katanya, notis itu diserahkan kepada Penolong Setiausaha Dewan Pemuda PAS Malaysia, Yusapiza Yaakob di Pejabat Agung PAS sebelum ini.

“Gerakan telah mengeluarkan kenyataan untuk membuat benteng manusia di hadapan Parlimen bagi menghalang Ahli PAS membawa masuk rang undang-undang perlaksanaan hukum hudud di Negeri Kelantan,” katanya.

Tambahnya, sepatutnya Timbalan Perdana Menteri tidak sepatutnya menyatakan perkara sedemikian, kerana rang undang-undang ini telah disokong oleh kedua-dua pihak iaitu Umno dan PAS.

“Muhyiddin yang menyarankan agar Jawatankuasa Khas ditubuhkan bagi membantu perlaksanaan hukum hudud, namun beliau pula berkata sebaliknya,” ujar Ahli Parlimen Pokok Sena itu.

Mahfuz berkata demikian bagi mengulas kenyataan yang dikeluarkan oleh sebuah akhbar harian.

Sebelum ini, Timbalan Perdana Menteri itu berkata, tindakan Abdul Hadi itu sememangnya bukan sesuatu yang menghairankan ke­­rana biarpun sebelum berlangsung PRK tersebut pembangkang telah bercanggah pendapat, namun disebabkan kepentingan politik, soal prinsip bukan lagi keutamaan mereka.

“Tindakan itu ialah kerana desakan politik Abdul Hadi. Walaupun sebelum ini parti dalam pembangkang ba­­nyak percanggahan bukan hanya dari segi hukum, tapi dasar-dasar lain juga. Itu macam ‘uneasy partnership’ sebab ada kepentingan politik, bagi saya ia tidak menghairankan.

“Walaupun calon tu menentang hudud, Hadi kata tak apalah kita sokong juga. Jadi, soal prinsip itu tidak lagi menjadi pegangan utama,” kata Muhyiddin ketika diminta mengulas tindakan Abdul Hadi yang tetap menyokong kempen Dyana Sofya biarpun di sebalik tentangannya terhadap perlaksanaan hukum hudud dan bantahan Pas terhadap pendirian calon DAP itu.

Tiada ulasan: