Jumaat, 30 Mei 2014

Dyana sembah tahniah pelantikan Sultan Nazrin Shah

HARAKAHDAILY 


KUALA LUMPUR: Calon DAP bagi pilihan raya kecil (PRK) Teluk Intan, Dyana Sofya Mohd Daud merakamkan sembah tahniah kepada Sultan Perak yang ke-35, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah yang diisytiharkan petang tadi.

Di masa yang sama beliau turut mengulangi rasa dukacita dan sedih atas kemangkatan Almarhum Sultan Azlan Shah dan mendoakan agar Allah  SWT mencucuri rahmat ke atas roh baginda.

"Patik sebagai anak negeri Perak Darul Ridzuan ingin merakamkan ucapan tahniah kepada DYMM Dr Nazrin Shah ibni Almarhum Sultan Azlan Muhibbuddin Shah yang diisytiharkan sebagai Sultan Perak Darul Ridzuan ke-35 pada hari ini 29 Mei 2014 bersamaan 29 Rejab 1435 Hijrah.

"Patik berdoa agar DYMM Paduka Seri menerajui negeri Perak Darul Ridzuan dengan penuh bijaksana bagi memastikan kesejahteraan rakyat," ujarnya dalam satu kenyataan media.

Dyana berkata, pimpinan serta ahli DAP dan Pakatan Rakyat yakin Sultan Nazrin akan memenuhi impian dan harapan rakyat Perak Darul Ridzuan.

Pengisytiharan perlantikan Sultan Nazrin diumumkan Orang Kaya Bendahara Seri Maharaja Jen (B) Tan Sri Mohd Zahidi Zainuddin pada istiadat yang diadakan di Balairong Seri Istana Iskandariah, Kuala Kangsar kira-kira jam 3.15 petang tadi.

Ia kemudian diikuti oleh pengakuan sumpah Raja Nazrin bahawa baginda akan memerintah dengan adil berdasarkan hukum Allah

Tiada ulasan: