MH370


PERTH - AUSTRALIA. Operasi mencari MH370 yang hilang di Lautan Hindi yang ditangguhkan semalam akibat cuaca buruk diteruskan hari ini membabitkan pencarian dalam air dan permukaan laut.
Pusat Penyelarasan Agensi Bersama (JACC) berkata operasi mencari yang masuk hari ke-52 pada Isnin membabitkan sembilan pesawat tentera dan 12 kapal.

Agensi itu yang menyelia operasi itu di sini, berkata misi pencarian pada Isnin akan melibatkan kawasan seluas kira-kira 54,921 kilometer persegi dengan garis pusatnya kira-kira 1,667 km barat laut Perth.

Keadaan cuaca hari ini diramalkan bertambah baik dengan ombak setinggi empat hingga lima meter, menurut kenyataan itu hari ini.

Sementara itu, bagi misi pencarian dalam air, agensi itu berkata Kenderaan Dalam Air Automatik, Bluefin-21 meneruskan misi ke-16 dalam usaha mengesan pesawat itu sejak awal pagi Isnin.

Setakat ini, tiada apa-apa objek atau petunjuk ditemui berkaitan pesawat itu, menurut JACC.

Penerbangan MH370 membawa 239 penumpang dan anak kapal hilang daripada imbasan radar ketika terbang di ruang udara Laut China Selatan pada 8 Mac setelah berlepas dari Lapangan Terbang Antarabangsa KL pada 12.41 tengah malam.

Ia sepatutnya mendarat di Beijing pada 6.30 pagi hari sama. Gerakan mencari melibatkan pelbagai negara dilancarkan untuk mengesan pesawat Boeing 777-200 itu, mula-mula di Laut China Selatan dan kemudian di selatan Lautan Hindi apabila ia  dikatakan melencong daripada laluan asalnya.

Selepas analisis terhadap data satelit menunjukkan kedudukan terakhir pesawat itu adalah di Lautan Hindi, di barat Perth, Australia, Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak mengumumkan pada 24 Mac bahawa Penerbangan MH370 "berakhir di selatan Lautan Hindi". - Bernama