Ahad, 30 Mac 2014

[VIDEO] Apakah Yang Tersirat Disebalik Pendedahan Tun Musa Hitam? -updated

KELAB GREENBOC


Selepas hampir 30 tahun, Musa Hitam dedah Dr Mahathir berada di KL ketika peristiwa Memali


Selepas hampir 30 tahun peristiwa Memali berlaku, bekas timbalan perdana menteri Tun Musa Hitam mendedahkan bahawa perdana menteri ketika itu Tun Dr Mahathir Mohamad berada di Kuala Lumpur, bukannya China sebagaimana yang diberitakan sebelum ini.

Pendedahan ini dibuat sendiri oleh Musa yang juga menteri keselamatan dalam negeri ketika peristiwa itu berlaku pada 19 November 1985 yang mengorbankan 14 orang dan berpuluh yang lain cedera.

Musa mendedahkan perkara ini dalam Diskusi Politik Malaysia: Dulu dan Sekarang anjuran Kerajaan Negeri Kelantan yang diadakan di Kota Bharu malam kelmarin.

Turut serta bersama beliau sebagai panel adalah naib presiden PAS Datuk Husam Musa dan moderatornya adalah Profesor Madya Datuk Dr Mohmamad Agus Yusof.

Musa ketika menjawab soalan Agus berkata, Dr Mahathir berada di Kuala Lumpur ketika kejadian itu bahkan, "Dua tiga hari selepas kejadian itu pun dia berada di Kuala Lumpur."

Ia disambut oleh Agus dengan berkata "Oh my God," dengan nada terkejut ekoran pendedahan Musa itu kerana media melaporkan Dr Mahathir berada di China ketika kejadian itu berlaku.

"Ok, my God, our God," kata Musa menyambut kenyataan Agus sambil ketawa dengan pendedahan itu.

Dalam diskusi itu juga Musa berkata, "titik hitam dalam politik saya adalah Memali, saya cakap terus terang." Musa berkata, itulah juga yang dinyatakan beliau kepada kawan-kawanya dalam politik dan di mana-mana.

Menurut ensiklopedia bebas, Wikipedia, peristiwa Memali berlaku pada 19 November 1985. Insiden ini mengorbankan 14 orang dan berpuluh-puluh yang lain tercedera serta penahanan beratus-ratus orang.

Kesemua yang ditahan telah dibebaskan kecuali 36 orang.

Mereka ditahan di bawah Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA).

Dalam pertempuran antara orang kampung dengan pihak polis, Ustaz Ibrahim Mahmud atau lebih dikenali dengan Ibrahim Libya terbunuh.

Polis memanggil operasi ini sebagai 'Operasi Angkara atau Operasi Hapus'.

"Ketika itu Tun Dr Mahathir Mohamad selaku Perdana Menteri Malaysia berada di China," menurut Wikipedia, dan kini baru didedahkan sebaliknya oleh Musa apabila beliau berkata ketika itu Dr Mahathir berada di Kuala Lumpur.

Peristiwa Memali berlaku apabila polis cuba menahan Ibrahim Libya di bawah Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) kerana didakwa mengamalkan ajaran sesat.

Ibrahim pula tidak mahu menyerah diri kalau mahu ditahan di bawah ISA. Akibatnya polis merempuh perumahan Ibrahim Libya dan pengikutnya dengan kereta perisai dan mengakibatkan 14 terbunuh.

Musa dipersalahkan dengan peristiwa itu dan Dr Mahathir selaku perdana menteri terlepas kerana dia diberitakan berada di luar negara ketika itu, iaitu China.

Pendedahan Musa hari ini akan memberikan satu episod baru dalam peristiwa hitam ini.

PAS menyifatkan semua yang terbunuh sebagai mati syahid manakala Sultan Kedah Tuanku Abdul Halim menziarahi kubur Allahyarham dan pengikutnya serta menyiramkan air mawar di atas pusara mereka. – TMI 


LIHAT VIDEO DI SINI


ULASAN GB

GB tertarik dengan pendedahan Tun Musa Hitam di atas.

Ada sesuatu yang cuba hendak disampaikan oleh Tun Musa di sebalik pendedahan bahawa Tun Mahathir berada di Kuala Lumpur sewaktu tragedi Memali berlaku pada tahun 1985 itu.

Pendedahan tersebut dilakukan tatkala seluruh negara sedang berbicara mengenai tragedi MH370.

Dan patutlah beberapa hari yang lalu, Tun Mahathir menyatakan beliau akan tapis internet jika menjadi PM semula.

Bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir berjanji akan menapis internet jika dilantik semula untuk memerintah Malaysia.

Dr Mahathir mengakui menyesal apabila pernah berjanji tidak akan menapis internet semasa memegang tampuk kuasa suatu ketika dahulu.

"Kalau saya jadi perdana menteri semula, perkara pertama saya lakukan ialah menapis internet.

"Sudah sampai masa kita menapisnya," kata Dr Mahathir semasa menyampaikan ucapan penutup pada Seminar Perdana Polis Diraja Malaysia (PDRM) di Cheras hari ini.

Kenyataan Dr Mahathir berkemungkinan susulan tekanan yang dihadapi parti pemerintah Barisan Nasional (BN) beberapa tahun kebelakangan ini, khususnya menerusi pelbagai platform media alternatif di internet.

Pembangkang Pakatan Rakyat (PR) dilihat lebih ke depan berbanding kerajaan BN, keputusan Pilihan Raya Umum ke-13 yang menyaksikan majoriti kepada BN merudum juga disumbangkan penguasaan pembangkang di dalam internet.

Internet juga menjadi alternatif kepada media arus perdana yang sekian lama dikuasai oleh Umno dan BN.

Dr Mahathir mengakui menyesal kerana membuat perjanjian sebelum ini supaya internet tidak akan ditapis.


Tiba-tiba Tun Mahathir mengeluarkan perkataan "Saya akan tapis internet kalau jadi PM semula".

Tumpuan saya bukan di perkataan tapis internet, tapi perkataan "kalau jadi PM semula".

Adakah beliau masih bercita-cita untuk jadi PM atau ada proksinya menjadi PM?

Penapisan internet juga dicadangkan Tun Mahathir tatkala ketika dunia sedang berbicara mengenai tragedi MH370. Tun Mahathir seperti resah gelisah dengan perbincangan di dunia internet susulan tragedi ini, apatah lagi pendedahan Rafizi mengenai rancangan Tun Mahathir untuk menggulingkan Najib sempena Kajang Move tempohari..

Apa yang tersirat di sebalik yang tersurat dengan pendedahan Tun Musa? Ya, hanya Tun Musa dan Allah mengetahuinya... our God!


Memali: Pendedahan Musa Hitam tunjuk wajah sebenar Dr Mahathir, kata Pakatan

Pendedahan bekas timbalan perdana menteri Tun Musa Hitam berhubung keberadaan Tun Dr Mahathir Mohamad di Malaysia semasa peristiwa Memali dan bukan di China seperti dipercayai selama lebih 30 tahun menunjukkan wajah sebenar ‎bekas perdana menteri itu, kata ahli Parlimen Pakatan Rakyat (PR).

Ahli Parlimen Shah Alam, Khalid Samad ‎berkata Dr Mahathir sanggup menjadikan Musa sebagai mangsa untuk dipersalahkan sedangkan bekas perdana menteri itu berada di Malaysia.

"Ia menunjukkan sikap dan perwatakan Dr Mahathir dalam soal Memali sanggup memangsakan timbalannya dan itulah jenis manusia yang masih disanjung‎ ramai.

"Inilah orang yang merosakkan sistem dan ekonomi negara sehingga kita berada dalam keadaan yang parah sekarang ini," katanya pada satu sidang media di Kompleks Karangkraf, Shah Alam hari ini.


Dalam satu diskusi di Kota Baru semalam, Musa mendedahkan bahawa Dr Mahathir berada di Kuala Lumpur, bukannya China semasa peristiwa Memali.

Pendedahan ini dibuat sendiri Musa yang juga menteri keselamatan dalam negeri ketika peristiwa itu berlaku pada 19 November 1985 yang mengorbankan 14 orang dan berpuluh yang lain cedera.

Sementara itu, Ahli Parlimen Padang Serai N Surendran berkata ini bukan kali pertama Dr Mahathir menunjukkan sikapnya yang tidak jujur dan suka memutar-belit fakta.

Katanya, Dr Mahathir perlu segera menjawab tuduhan Musa dan memberi penjelasan kepada rakyat agar kenyataan itu dapat dipastikan kebenarannya.

“Saya memang tak terperanjat kerana Dr Mahathir membuktikan banyak kali bahawa beliau bukan seorang yang jujur dan beliau arif dalam memutar-belit fakta.

“Dr Mahathir perlu jelaskan dengan segera apakah benar tuduhan yang dibuat Musa kerana rakyat berhak mengetahui perkara sebenarnya,”
katanya kepada The Malaysian Insider.

Surendran berkata selain Dr Mahathir, pemimpin Barisan Nasional (BN) juga perlu memberi pencerahan tentang peristiwa hitam Memali dan hubung kait mantan perdana menteri itu terhadap kekejaman kerajaan pada masa itu.

Katanya, dengan lebih banyak maklumat berhubung peristiwa Memali, rakyat dapat memahami dan menggambarkan keadaan sebenar kejadian itu.

“BN perlu memberi ulasan kerana ini melibatkan bekas perdana menteri mereka dan satu perkara yang amat serius di bawah pemerintahannya. Semua ini perlu ada penjelasan agar ada pendedahan di peringkat nasional mengenai isu Memali.

“Sampai hari ini kita tidak mempunyai penerangan yang jelas tentang peristiwa Memali sehingga Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) digunakan secara menggila bagi menangkap beratus orang dan sebagainya,” katanya.

Naib presiden PKR itu turut tidak melihat tindakan mahkamah sebagai jalan terbaik bagi mendakwa Dr Mahathir selaku perdana menteri memerintah pada ketika itu.

“Undang-undang bukan penyelesaiannya tetapi pendapat awam adalah cara yang terbaik kerana perkara ini menjadi isu umum dan perlu didedahkan.

“Itu merupakan hukuman terbaik bagi mereka yang terlibat dalam perkara ini seperti Dr Mahathir dan lain-lain. Biar rakyat menilai, menghukum dan menjadi hakim dalam kes ini,” katanya.

Peristiwa Memali berlaku pada 19 November 1985 mengorbankan 14 orang mangsa dan berpuluh-puluh yang lain tercedera serta penahanan beratus-ratus orang yang lain di bawah ISA.

Kesemua yang ditahan dibebaskan kecuali 36 tahanan lain.

Dalam pertempuran antara orang kampung dengan pihak polis, Ibrahim Mahmud atau lebih dikenali sebagai Ibrahim Libya terbunuh.

Peristiwa Memali berlaku apabila polis cuba menahan Ibrahim Libya di bawah ISA kerana didakwa mengamalkan ajaran sesat.

Pendedahan Musa hari ini akan memberikan satu episod baru dalam peristiwa hitam ini.

PAS menyifatkan semua yang terbunuh sebagai mati syahid manakala Sultan Kedah Tuanku Abdul Halim menziarahi kubur Ibrahim dan pengikutnya serta menyiramkan air mawar di atas pusara mereka. – 28 Mac, 2014.
-TMI

Tiada ulasan: