Khamis, 27 Mac 2014

TAWAS: Peserta bawah 18 tahun layak terima skim baru khairat RM1,500

Oleh: NAZLI IBRAHIM


SHAH ALAM: Kerajaan Selangor terus komited membela kebajikan rakyat negeri itu dengan memperkenalkan satu lagi skim khairat kematian.

Skim yang dinamakan Manfaat Khairat Kematian YAWAS itu membolehkan ibu bapa peserta Tabung Warisan Anak Selangor (TAWAS) yang meninggal dunia sebelum mencapai umur 18 tahun menerima sumbangan RM1,500 daripada Nerajaan Negeri.

Pengurus Besar Yayasan Warisan Anak Selangor (YAWAS), Mohd Noor Mohd Zain, berkata skim terbabit mula diperkenalkan, pada 1 Mac lalu.

IMG_7546a“Manfaat ini diperkenalkan kepada anak kelahiran Selangor yang mendaftar sebagai Ahli TAWAS. Dengan manfaat terbaru ini, jika peserta TAWAS itu meninggal dunia sebelum mencapai umur 18 tahun, ibu bapanya boleh menuntut khairat kematian bernilai RM1,500.

“Tuntutan itu boleh dibuat di pejabat YAWAS dengan membawa Sijil kematian, Kad SiManja dan Penyata Simpanan TAWAS jika ada,” katanya kepada Selangor Kini, di sini, hari ini.

Mohd Noor berkata, rakyat Selangor digalakkan mendaftarkan anak mereka dalam Skim TAWAS bagi membolehkan anak terbabit tidak keciciran dalam menikmati pelbagai kemudahan yang disediakan Kerajaan Negeri.

Apabila seorang anak yang baru lahir didaftarkan dalam Skim TAWAS mereka akan dihadiahkan tabung simpanan RM100 dan pada usia 18 tahun, peserta berpeluang menerima RM1,500 seorang hasil daripada pelaburan dalam TAWAS.

IMG_7538aPendaftaran TAWAS boleh dibuat di Pejabat Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN), Pejabat Daerah, Pejabat Penghulu/Ketua Kampung, Pihak Berkuasa Tempatan, Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) terpilih atau terus ke pejabat Yawas di alamat A1-11-2 & A1-11-3 Jalan Multimedia 7/AH, Park City, I-City, Shah Alam.

Sebelum ini,di bawah program Merakyatkan Ekonomi Selangor (MES) Kerajaan Selangor memperkenalkan Skim Mesra Usia Emas (SMUE) yang membolehkan waris peserta skim itu menerima sumbangan khairat kematian bernilai RM2,500 dari Kerajaan Negeri.-NFN-

Tiada ulasan: