Sabtu, 29 Mac 2014

Sekat pemimpin KEADILAN masuk Sarawak bermotif politik, jahat

Oleh: Rusnizam Mahat
KUALA LUMPUR : Tindakan kerajaan negeri Sarawak menghalang pemimpin KEADILAN memasuki negeri itu adalah bermotif politik dan berniat jahat, kata Setiausaha Agung KEADILAN, Datuk Saifuddin Nasution Ismail.
Saifuddin
“Sebagai parti politik berdaftar, KEADILAN sepatutnya dibenarkan bergerak bebas ke seluruh negara termasuk di Sarawak.
“Kenyataan ketua menteri Sarawak bahawa larangan masuk seperti itu dengan alasan akan menimbulkan huru-hara, atau kacau ganggu dan memberi kesan buruk kepada hubungan kaum, jelas  bermotif politik dan berniat jahat serta tidak pernah dibuktikan pun,” ujarnya ketika dihubungi.
Saifuddin disekat memasuki Sarawak ketika tiba di Sibu pada jam 11 pagi, 25 Mac lalu dan dimaklumkan  bahawa satu arahan dikeluarkan Pejabat Ketua Menteri Sarawak untuk menyekat beliau daripada memasuki negeri itu.
Turut menerima nasib sama ialah Naib Presiden KEADILAN, Tian Chua, Pengarah Strategi KEADILAN, Rafizi Ramli dan terbaru Ketua Wanita, Zuraida Kamaruddin.
Menurut Saifuddin, tidak pernah berlaku tindakan menghalang pemimpin pembangkang dari semenanjung untuk menyertai mana-mana kempen pilihan raya kecil di bumi kenyalang.
“Tak pernah ada masalah selama ini untuk masuk ke negeri Sarawak sejak KEADILAN ditubuhkan pada tahun 1999.
“Saya percaya ia sekadar mengesahkan BN Sarawak semakin gentar terhadap pengaruh parti KEADILAN, dan kesedaran rakyat negeri Sarawak yang menerima baik parti KEADILAN,” ujarnya menambah ini adalah kali pertama beliau dilarang memasuki negeri berkenaan.
Katanya lagi, larangan itu juga menunjukkan Ketua Menteri Sarawak yang baru, Tan Sri Adenan Satem bimbang dengan kemaraan KEADILAN, menjelang Pilihan Raya Kecil negeri itu yang akan diadakan dalam tempoh dua tahun lagi.
“Satu cara digunakan oleh Adenan Satem untuk menyekat kemaraan parti KEADILAN adalah dengan cara mengenakan sekatan masuk terhadap pemimpin KEADILAN ke Sarawak.
“Adenan Satem terlepas peluang untuk keluar dari kepompong Taib Mahmud dan hanya menjadi penerus kepada pengaruh dan polisi Taib Mahmud. Anehnya kita tak pernah hadapi masalah sebelum ini,” katanya.
Taib meletak jawatan sebagai ketua menteri bulan lalu dan digantikan oleh  Adenan Satem sebelum dilantik menjadi Yang di-Pertua Negeri Sarawak.
PRK DUN Balingian diadakan selepas Taib mengosongkan kerusi berkenaan yang menyaksikan pertandingan satu lawan satu antara calon Barisan Nasional, Yussibnosh Balo dan calon KEADILAN, Abdul Jalil Bujang

Tiada ulasan: