PKR Cabar Satem Dedahkan Senarai Sekatan  
PKR mencabar Ketua Menteri Sarawak, Tan Sri Adenan Satem mengemukakan senarai nama pemimpin PR yang dihalang daripada memasuki negeri itu.


PETALING JAYA - [VIDEO]  PKR mencabar Ketua Menteri Sarawak, Tan Sri Adenan Satem mengemukakan senarai nama pemimpin PR yang dihalang daripada memasuki negeri itu.

Ketua Wanitanya, Zuraida Kamaruddin mendakwa ketua menteri baharu itu sepatutnya bukan sahaja berani menyalahgunakan kuasanya bahkan perlu telus dengan menyenaraikan sekatan itu secara terbuka.

"Saya desak kerajaan negeri mengeluarkan kenyataan balas apabila menghalang saya memasuki Sarawak semalam sedangkan maklumat awal mengatakan nama saya tiada dalam senarai itu (sekatan).

"Tindakan itu menunjukkan keterdesakan BN Sarawak yang takut pimpinan PR masuk berkempen dan ia juga memburukkan imej BN kerana mengekang rakyat bergerak bebas," katanya pada sidang media di ibu pejabat PKR, di sini, hari ini.

Beliau berkata demikian mengulas lanjut tindakan Jabatan Imigresen Sarawak semalam yang menyekat perjalanannya ke Sibu sekali gus menghalangnya daripada membantu calon PKR, Abdul Jalil Bujang berkempen pada PRK N51 Balingian.

Selain beliau, tiga lagi pemimpin kanan PKR yang telah disekat masuk pada Selasa lalu termasuklah Pengarah Strategi PKR, Rafizi Ramli; Setiausaha Agung, Datuk Saifuddin Nasution Ismail dan Ahli Parlimen Batu, Chua Tian Chang.

Tambah Zuraida, beliau merupakan individu keempat yang dihalang memasuki negeri itu selepas beliau ditahan pihak berkuasa di Lapangan Terbang Sibu kira-kira jam 2.30 petang semalam.

"Saya orang pertama yang diberikan notis penolakan masuk ke Sarawak selepas saya meminta pihak Imigresen memberikan sebab halangan itu.

"Sebelum perjalanan ke Sibu, saya mengetahui nama saya tidak tersenarai tetapi bila cuba melepasi pintu masuk, saya terus ditahan dan dibawa ke pejabat polis dan imigresen," katanya.

Dalam pada itu, Zuraida juga mendakwa halangan yang dikenakan terhadap beberapa pemimpin kanan PR ke Sarawak akan terus digunakan pada pilihan raya negeri itu menjelang 2015.

Beliau yang juga Ahli Parlimen Ampang itu mendakwa, taktik kotor itu akan terus diguna pakai bagi menghalang kemaraan PR dan menjamin kemenangan BN pada PRK negeri.

"Pimpinan Tan Sri Adenan Satem akan terus menggunakan sekatan itu terhadap kami (PR) dalam PRK Sarawak pada 2015 supaya mereka kekal berkuasa di negeri itu.

"Ketua Menteri (Sarawak) cuba tunjuk kuasa dan salah guna jawatannya untuk menafikan hak orang lain bergerak bebas ke negeri itu," katanya lagi.