Jumaat, 28 Mac 2014

MH370: Bentuk JK Parlimen tanpa ditemui kotak hitam

HARAKAHDAILY 


KUALA LUMPUR: Ahli Parlimen Gelang Patah, Lim Kit Siang menyeru Kabinet yang bermesyuarat hari ini untuk membuat keputusan menyokong pembentukan Jawatankuasa Pilihan Parlimen berkenaan MH370 yang diketuai oleh Pembangkang dalam sidang Parlimen yang sedang berlangsung tanpa mengira sama ada kotak hitam ditemui atau tidak.

Katanya, tindakan segera untuk menubuhkan Jawatankuasa Pilihan Parlimen berkenaan MH370 yang diketuai Pembangkang adalah mustahak atas dua sebab.

Pertama, katanya keyakinan pihak di dalam dan luar negeri terhadap Malaysia dan Kerajaan Malaysia akan dapat dipulihkan kerana langkah pembentukan Jawatankuasa berkenaan akan memberi mesej jelas bahawa Malaysia dan Kerajaan Malaysia tidak cuba untuk menyembunyikan sesuatu dan bersungguh-sungguh hendak memberi pendedahan lengkap dan telus berkenaan bencana MH370.

Kedua, ujar beliau kerja-kerja awal perlu dijalankan dengan segera untuk melancarkan siasatan ke atas bencana MH370.

Ini, katanya memandangkan Malaysia adalah peneraju operasi SAR yang melibatkan pelbagai negara, maka Jawatankuasa Pilihan Parlimen yang diketuai Pembangkang juga perlu membentuk gugusan siasatan Parlimen berbilang negara berkenaan bencana MH370 yang menyatukan sumber dan kepakaran 26 buah negara.

“Saya menyeru para menteri dalam mesyuarat Kabinet esok (hari ini) menolak cadangan untuk menjalankan siasatan hanya setelah kotak hitam ditemui, pertama, kerana ia menunjukkan bahawa kita hendak menghindari siasatan penuh; dan kedua, kerana ia akan dilihat oleh dunia sebagai satu percubaan oleh kerajaan Malaysia untuk meneruskan dasar tidak berketanggungjawaban dan telus,” ujarnya dalam satu kenyataan semalam.

Tiada ulasan: