Sabtu, 29 Mac 2014

Kualiti pendidikan di sekolah kebangsaan ternyata lemah

Isu bahasa bukan isu utama masyarakat Cina untuk terus mengekalkan sekolah vernakular.
tony pua

SHAH ALAM: Isu bahasa bukanlah isu utama yang menyebabkan masyarakat Cina berhasrat untuk terus mengekalkan sekolah vernakular, tetapi isu mutu pendidikan yang diterima mereka di sekolah kebangsaan.

Menurut Ahli Parlimen Petaling Jaya Utara, Tony Pua, terdapat dua faktor yang menyebabkan masyarakat Cina terus menghantar anak mereka ke sekolah vernakular berbanding dengan sekolah kebangsaan.

Faktor pertama adalah kualiti pendidikan di sekolah kebangsaan yang ternyata lemah, dan faktor kedua pula adalah dari sudut psikologi pelajar bukan berbangsa Melayu itu.

“Apabila ada pelajar bukan Cina memasuki sekolah kebangsaan, mereka seolah-olah dipinggirkan, bukan sahaja dipinggirkan oleh rakan sebaya, tetapi juga guru-guru,

“Sekolah kebangsaan kini, bukan lagi sekolah untuk seluruh masyarakat, tetapi lebih tertumpu kepada sekolah kepada bangsa Melayu,” ujarnya.

Bagi Pengarah Strategi Parti Keadilan Rakyat (PKR), Rafizi Ramli, beliau menyifatkan bahawa terdapat banyak salah faham dan kekeliruan, terutama daripada bangsa Melayu mengenai sekolah vernakular.

“Mereka ingat sekolah vernakular ini adalah digunakan untuk meracun fikiran anak-anak Cina sepertimana yang dilakukan oleh Barisan Nasional (BN) yang meracun fikiran anak-anak Melayu untuk membenci Cina,” katanya dalam sidang media selepas Majlis Pelancaran Buku “Masa Depan Masa Kita” yang dikarang oleh Ahli Parlimen Lembah Pantai, Nurul Izzah Anwar Ibrahim.

Malah beliau turut menjelaskan bahawa, ibu bapa yang menghantar anak-anak mereka ke sekolah Cina bukan semata-mata inginkan anak-anak mereka belajar bahasa, tetapi menginginkan anak-anak mereka berdisiplin seperti disiplin diri, dan juga disiplin dalam menguruskan masa.

“Ternyata sekolah kebangsaan tidak  mampu dan tidak dapat memberikan pendidikan seperti ini kepada pelajar-pelajar berbangsa Cina dan Melayu khususnya,” Ujarnya.

Tiada ulasan: