Dr Ali Hamsa Dr Ali Hamsa menyampaikan cenderahati kepada Pesara Kanan Prof Sharifah Hapsah pada Majlis Khidmat Bakti 2014 di Hotel Palace of The Golden Horses di Serdang, malam ini. - Foto Bernama


SERDANG - Kerajaan akan memperkenalkan satu inisiatif terbaharu untuk menjaga kebajikan pesara penjawat awam yang dikenali sebagai "1Malaysia Civil Service Retirement Support".

Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Dr Ali Hamsa berkata, inisiatif dibawah pendekatan Strategi Lautan Biru Kebangsaan (NBOS) itu akan dikelolakan oleh Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA).

"Inisiatif ini merupakan satu bentuk perkhidmatan yang disediakan oleh kerajaan kepada pesara penjawat awam dimana ia lebih tertumpu kepada beberapa perkara seperti kesejahteraan dan kebajikan pesara, keusahawanan, pengurusan kewangan dan penjagaan kesihatan," katanya.

Ini secara tidak langsung memberikan gambaran yang jelas dan nyata bahawa kerajaan tetap memelihara dan tidak meminggirkan penjawat awam walaupun selepas bersara daripada perkhidmatan mereka, katanya ketika berucap pada Majlis Khidmat Bakti Bil.1 2014 di sini malam ini.

Katanya menerusi hasil kajian mengenai perspektif pesara yang dilaksanakan di bawah JPA, menunjukkan 80.76 peratus pesara menitikberatkan isu kesihatan, 53.18 peratus mengutamakan soal kebajikan dan 48.94 peratus memerlukan bantuan mengenai pelan perancangan kewangan selepas bersara.

Ali berkata bagi mengerakkan inisiatif terbaharu itu, satu laman sesawang yang mengkhususkan kepada pesara penjawat awam sedang dibangunkan oleh JPA dan laman ini dijangka akan dilancarkan pada bulan hadapan.

Majlis Khidmat Bakti pada malam ini bertujuan untuk meraikan 58 pegawai-pegawai kanan penjawat awam yang telah bersara dan turut dihadiri Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam Malaysia Tan Sri Mohamad Zabidi Zainal, Ketua Polis Negara Tan Sri Khalid Abu Bakar dan Ketua Setiausaha Kementerian Komunikasi dan Multimedia Datuk Seri Abd Rahim Mohd Radzi. - Bernama