Rosnah Abd Rashid Shirlin Datuk Rosnah Rashid Shirlin


KUALA LUMPUR - Pembinaan Hospital Shah Alam dengan kos RM550.8 juta dijangka siap sepenuhnya pada 24 September 2014.

Timbalan Menteri Kerja Raya, Datuk Rosnah Rashid Shirlin berkata,  daripada segi struktur fizikal, hospital berkenaan sudah siap sepenuhnya.

"Manakala dari segi kompenan peralatan, dan pemasangan sudah 86 peratus siap dan sistem ujian juga sedang dilakukan, " katanya kepada Dewan Rakyat ketika menjawab soalan Khalid Samad (Shah Alam-Pas) yang ingin tahu perkembangan terkini projek berkenaan yang tertunggak sejak 2008.

Khalid menerusi soalan tambahannya mempersoalkan pertambahan kos pembinaan hospital itu yang meningkat dari RM480 juta kepada RM550.8 juta.

Menurut Rosnah,  daripada jumlah itu RM410.8 juta adalah kontrak semasa manakala RM140 juta adalah bayaran kontraktor terdahulu yang telah ditamatkan pada tahun 2010.

Rosnah ketika ditemui berkata,  peningkatan kos itu disebabkan oleh perubahan peralatan dan kenaikan kos semasa.

"Kelewatan itu disebabkan proses perbekalan peralatan dan ubat-ubatan yang memerlukan varifikasi dan ujian selama enam bulan sebelum hospital itu boleh memulakan operasinya," katanya yang juga bekas Timbalan Menteri Kesihatan.