Jumaat, 28 Februari 2014

Tangguh PBS hanya kelegaan sementara - SGMM

MUHAMMAD FAIZAL 


KUALA LUMPUR: Suara Guru Masyarakat Malaysia (SGMM) hari ini melihat kenyataan Menteri Pendidikan, Tan Sri Muhyiddin Yassin terhadap penangguhan serta merta pelaksanaan Pentaksiran Berasaskan Sekolah (PBS) memberikan guru sempat menarik nafas lega.

Namun kata Ketua Gerak Kerja (Penaja) SGMM, Mohd Izzat Mohd Johari, beliau khuatir penangguhan ini sekadar meredakan bahang kepincangan PBS.

"Saya tidak nampak apa yang dilakukan oleh menteri mahupun Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) dari penangguhan tersebut.

"Apa yang kita lihat ada usaha dari pihak KPM ingin meneruskan PBS dalam masa terdekat.

"Umum penangguhan, tapi apa kajian yang dilakukan KPM terhadap PBS, kita sendiri tidak tahu," jelas beliau.

Mohd Izzat ketika ditanya berhubung kenyataan Timbalan Menteri Pendidikan II, Datuk Seri Idris Jusoh yang mengatakan PBS diterima seluruh masyarakat, berkata: "Idris kena tunjukkan bukti jelas kepada seluruh masyarakat tentang apa yang beliau katakan itu, apa bukti masyarakat terima.

"Hanya sekadar cakap dan tanpa bukti itu suatu yang tidak boleh diterima," katanya.

Beliau yang kecewa dengan sikap KPM yang tidak mempunyai pendirian tegas dalam soal PBS, sehinggakan seluruh guru di Malaysia berbelah bahagi sama ada hendak meneruskan PBS atau tidak.

"Jika tangguh, akan hadapi masalah lain iaitu pertindanan kerja yang terlalu banyak, malah murid pula akan dibebani banyak kerja.

"Saya mohon PBS ini dihentikan serta-merta bukannya ditangguh tanpa hala tuju.

"Walaupun PBS baharu akan wujud, ianya wajib dikaji dan dilaksanakan perintis terlebih dahulu. Sekurang-kurangnya 3 hingga 4 tahun kajian rintis," kata beliau.

Beliau berharap, mana-mana individu yang mengaku sebagai guru berpuluh tahun yang cuba menyokong PBS agar tidak hipokrit, kerana seluruh guru Malaysia tahu kepincangan pelaksanaan PBS sejak 2011 hingga 2013.

Tiada ulasan: