Selasa, 25 Februari 2014

Kassim Ahmad: Perkasa, NGO Umno hilang lantang?

MUHAMMAD FAIZAL 


SHAH ALAM: Ahli Parlimen Shah Alam, Khalid Abdul Samad melahirkan rasa hairan dengan sikap kumpulan NGO Umno yang seperti 'hilang suara' dalam isu Kassim Ahmad berbanding siu-isu berkait agama sebelum ini.

Katanya, sehingga kini tidak kedengaran suara lantang mereka, yang sebelum ini seringkali mengancam ugutan fizikal malah mengadakan demonstrasi dalam isu-isu terdahulu.

"Mana pergi kumpulan pendesak Melayu seperti Perkasa, Jati mahupun Perkida yang sebelum ini lantang jika Melayu atau Islam itu dipersoalkan.

"Kenapa dalam isu Kassim ini mereka tidak berani ke hadapan, adakah ia berkaitan dengan Umno jadi mereka hanya berdiam diri termasuk juga pihak berkuasa agama tempatan?," soal beliau dalam satu sidang media hari ini.

Dalam pada itu beliau menggesa kerajaan melalui pihak berkuasa agama agar segera mengambil tindakan terhadap Kassim Ahmad yang secara jelas telah menghina Hadis yang menjadi salah satu sumber pegangan umat Islam.

Jelasnya lagi, pihak berkuasa tidak perlu takut untuk bertindak walaupun ia mempunyai kaitan dengan bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad ataupun dengan Umno.

"Pihak berkuasa tidak perlu takut untuk bertindak ke atas Kassim walaupun ia mempunyai kaitan dengan Dr Mahathir ataupun dengan Umno sekali pun.

"Kalau isu Syiah sebelum ini mereka boleh bertindak kenapa tidak berlaku ke atas Kassim, kita harap perkara ini perlu disegerakan agar tidak ada umat Islam yang terkeliru dengan kenyataannya," kata beliau lagi.

Ditanya mengenai cabaran Kassim supaya orang yang mempertikai pandangan beliau tampil behujjah, Khalid berkata pihak berkuasa agama patut mengambil inisiatif tersebut.

"Saya harap pihak jabatan agama boleh menganjurkan pertemuan dan kalau orang lain tidak mahu bertemu dengannya (Kassim) saya bersedia.

"Isu sekarang bukan bersekemuka atau berbincang, tetap tindakan tegas atas kenyataan beliau yang bertentangan dengan ajaran islam," tegasnya.

Tiada ulasan: