Jumaat, 31 Januari 2014

Sesiapa sahaja boleh jadi pengarah pilihan raya BN di Kajang

Tumpuan BN Selangor kini ialah untuk menguatkan jentera pilihan raya




PETALING JAYA: Umno Selangor akan bekerjasama dengan mana-mana individu yang dilantik oleh pimpinan pusat Barisan Nasional untuk memegang jawatan pengarah pilihan raya bagi pilihan raya kecil (PRK) di Kajang nanti.

Menurut Timbalan Ketua Perhubungan Umno Selangor Datuk Shukor Idrus, Barisan Nasional (BN) peringkat negeri akan memperkuatkan barisan jentera pilihan raya mereka bagi menghadapi PRK tersebut.

“Terpulang pada pucuk pimpinan BN sebenarnya untuk memilih calon di peringkat negeri sendiri ataupun pimpinan pusat untuk jawatan pengarah pilihan raya nanti.

“Siapa juga yang dipilih nanti mesti mengetuai jentera pilihan raya kita. Apa yang penting, jentera pilihan raya mesti bekerja keras untuk mencapai kemenangan dalam PRK ini nanti,” katanya apabila dihubungi hari ini mengulas cadangan Ketua Umno Bahagian Hulu langat, Datuk Johan Abdul Aziz supaya dilantik sebagai Pengarah PRK Kajang.

Menurut beliau, sesiapa sahaja boleh memegang jawatan tersebut, namun mengakui kelebihan akan berpihak kepada pemimpin setempat yang lebih arif mengenai selok-belok kawasan tersebut.

“Bukan pengarah yang menentukan kemenangan dalam PRK nanti. Pengarah ini tugasnya ialah untuk menentukan dan mempengerusikan persidangan dalam menghadapi pilihan raya.

“Tetapi jentera yang memainkan peranan penting bagi menambat hati pengundi. Bagi saya, pemantapan jentera kita lebih penting,” tambahnya lagi.

Beliau turut menambah tidak mustahil pemimpin setempat dipilih menggalas jawatan tersebut tinggi lantaran pilihan raya nanti merupakan PRK.

Kerusi DUN Kajang kosong setelah penyandangnya Lee Chin Cheh dari PKR meletakkan jawatan pada 27 Jan lepas. Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) mengumumkan bahawa mereka akan bermesyuarat pada 5 Feb nanti untuk memutuskan tarikh pencalonan calon dan tarikh pengundian.

Chin Cheh menang kerusi DUN Kajang setelah meraih 19, 571 menewaskan lima lagi calon, Lee Ban Seng (BN-MCA) yang menerima 12, 747 undi, diikuti Mohamad Ismail (Berjasa) 1,014 undi. Tiga lagi calon ialah calon bebas iaitu Mohd Iwan Jefrey Abdul Majib (249 undi), Ong Yan Foo (85 undi) dan Mohd Khalid Kassim (83 undi).

Setakat ini, hanya PKR sahaja telah mengumumkan calon mereka iaitu Ketua Umum Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Tiada ulasan: