Sabtu, 28 Disember 2013

Pas Kelantan jangan remehkan Keadilan

MSO



Wan Nik: harus bijaksana.
Setiausaha Politik Menteri Besar Kelantan, Wan Nik Wan Yusuf dilaporkan memberi pandangan bahawa hanya dua sahaja parti yang dominan di Kelantan, iaitu Pas dan Umno, manakala parti lain yang merupakan parti ketiga seperti PKR (Keadilan) tidak mendapat sokongan rakyat. Beliau memberi pandangan demikian dalam satu majlis di Kota Bharu minggu lepas. Pandangan negatif itu tidak disenangi oleh Keadilan.

Saya bersetuju dengan pandangan berkenaan, memang Kelantan didominasikan oleh kedua parti Melayu - Islam itu sejak tahun 50-an lagi.

Selain dari kedua parti itu, parti lain tidak mampu bernafas panjang di dalam lumpur politik Kelantan yang dianggap unik. Malahan jangka hayat parti-parti lain juga bergantung kepada sejauh dan sekuat mana ia bekerjasama dengan Pas atau Umno.

Sekiranya mana-mana parti ketiga, keempat atau kelima merenggangkan hubungan dengan Pas atau Umno, mereka akan hancur. Dalam erti kata lain, parti lain bergantung hayat dengan Pas atau Umno.

Sejarah telah menunjukkan kebenaran itu. Awal tahun 1990-an dahulu parti Melayu Semangat 46, Hamim dan Berjasa berkerjasama dengan Pas untuk berdepan dengan Umno. Mereka mendapat kemenangan besar dengan menumpang pengaruh Pas. Apabila mereka berpisah dengan Pas, hatta kembali semula kepada lubuk asal Umno, seperti dilakukan Semangat 46, parti itu mengalami kemerosotan dan akhirnya berkubur tanpa nisan dan ditalqinkan.

Perkembangan atau fenomena itu, kita akui akan kebenaran dan realitasnya. Tetapi dalam konteks hubungan Pas dengan mana-mana parti ketiga, khasnya parti Keadilan waktu ini tidak boleh dipandang remeh. Apa lagi kalau Pas cuba hendak menidakkan akan keperluan itu dalam hubungannya dalam Pakatan Rakyat. Ia satu langkah surut ke belakang dan tidak bijaksana.

Sekiranya Pas masih mahu berdepan dengan Umno secara solo untuk memerintah negeri Kelantan, Pas tidak boleh merasakan kehadiran Keadilan sebagai melukut di hujung gantang. Pas kena bijak dan tahu untuk meraikan Keadilan. Pas kena menerima sumbangan Keadilan dalam kejayaanya sebelum ini tidak banyak, tetapi sedikit adalah dari Keadilan. Kalau Keadilan melukut yang tidak boleh dijadikan nasi himpit atau ketupat, ia tentu boleh dijadikan 'ssagun'. Tetap ada gunanya.

Justeru Wan Nik tidak sepatutnya memberi pandangan 'benar' dan ikhlas begitu tentang potensi Keadilan. Beliau perlu mengelak dari memberi jawaban sebegitu kerana ia boleh menyinggung hati rakan dalam Pakatan Rakyat itu. Pandangan akaemik begitu ia juga menampakkan akan kesombongan dan kebongkokkan Pas. Wan Nik seharusnya melihat lebih jauh dalam konteks lebih luas mengenai keperluan berkerjasam atau kehadiran Keadilan di sisinya.

Mungkin di Kelantan, Keadilan tidak memberi sumbangan besar kepada Pas. Malahan kewujudan Keadilan sendiri dianggap sebagai sampah yang menganggu agenda Pas sahaja, atau pun mencuri ruang-ruang kosong jawatan yang seharusnya diisi oleh orang Pas, di mana kehadiran Keadilan mengurangkan kekuasaan Pas dalam agensi kerajaan atau PBT. Kerana itu Pas tidak memberi kerjasama atau melayan Keadilan dengan sepatutnya sebagai rakan kongsi dan pakatan politik.

Alasan diberikan Pas untuk tidak meraikan Keadilan kerana parti itu lemah. Sebagai buktinya, Keadilan kalah hampir di semua kerusi dipertandingkan. Tetapi kalau Pas jujur dan ikhlas mereka perlu sedar kenapa parti berlambangkan mata itu kalah? Sebanya ialah kerana ulah dan sikap Pas juga yang tidak memberi kerjasama baik dan bersikap jujur dan ikhlas kepadanya.

Pas menerima Keadilan sebagai rakan di waktu siang, manakala pada malamnya Pas mengkhiantinya. Ada bukti menunjukkan Pas Kelantan tidak jujur dengan Keadilan. Misalnya mengenai pembahagian kerusi. Pas sengaja memberi kerusi-kerusi yang sudah pasti kalah atau pun dikenali dengan kawasan kubur Umno kepada Keadilan, manakala kerusi selamat dikaut oleh Pas. Apakah itu satu persepakatan adil dan tulus?

Bukan itu saja ketidak-jujuran juga dapat dilihat dari sikap Pas yang songsang dalam melayani Keadilan. Maksudnya, Pas memberi dengan sebelah tangan kepada Keadilan dan tidak menghulur dengan dua belah tangan penuh keikhlasan. Misalnya kerusi Dun Pengkalan Kubur, Tumpat, kerusi itu diperuntukan kepada Keadilan, tetapi jawatan penyelia Dun, ianya diberikan kepada orang Pas. Macam mana calon Keadilan hendak menang kerana jawatan penyelia yang membolehkan calon berjumpa dan mendekati rakyat dilakukan oleh orang Pas?

Ketidakjujuran Pas juga terbukti dalam berkerjasama dalam pilihan raya. Ambil contoh kerusi parlimen Macang, Ketereh dan Tanah Merah. Di tiga kerusi ini ianya diwakilkan oleh Keadilan, jelas tidak mendapat sokongan padu dari penyokong atau ahli Pas. Perbezaan undi di kerusi Dun dalam kawasan parlimen itu dengan undi untuk parlimen sangat ketara sekali.

Di parlimen Ketereh calonya dari Keadilan Abdul Aziz Kadir mendapat 25,938 manakala undi untuk Pas dicampur ketiga-tiga kerusi dalam Ketereh iaitu; Kadok, Melor dan Kok Lanas berjumlah 29,214. Bezanya ialah sebanyak 3,276.

Kerusi Machang pula calon Keadilan, Wan Zawawi Wan Ismail memperolehi 24,855 undi manakala kalau dicampur undi di ketiga Dun dalam parlimen Machang yang ditandingi Pas, iaitu kerusi Pulai Chondong, Temangan dan Kemuning undi diraih calon Pas sebanyak 26,898 dimana bezanya sebanyak 2,043.

Begitu juga dengan kerusi parlimen Tanah Merah yang ditandingi Keadilan menerusi calonnya Nik Mahmod Nik Hasan mengutip undi sebanyak 22,278 berbanding dengan undi dipunggut calon Pas di tiga kerusi di dalam kawasan itu, Bukit Panau, Kemahang dan Gual Ipoh sebanyak 26,530, bezanya sebanyak 4,252 undi.

Jika diperhatikan perbezaan undi diperolehi Pas dan Keadilan itu jelas menunjukkan sokongan untuk keduanya tidak sekata. Dalam hal ini ia boleh disalahkan kepada Pas yang tidak sedia memberi undi kepada rakan mereka, dan ini membuktikan Pas Kelantan tidak ikhlas dalam maufakat.

Seharusnya kalau Pas mempunyai integriti, parti itu harus merasa bersalah atas apa yang berlaku. Pas perlu merasa malu dan bertanggungjawab kenapa terjadi demikian. Kenapa orang-orangnya tidak sedia menyokong Keadilan? Malangnya tidak ada seorang pun pemimpin tertinggi Pas Kelantan yang memberi reaksi atau menyatakan kekesalan di atas apa yang berlaku. Ini juga termasuk Wan Nik Wan Yusuf.

Lantaran itu apa dinamakan kelemahan Keadilan yang sering dijadikan alasan untuk tidak mengejapkan hubungan dan melayan baik Keadilan seharusnya dikaji dan diambil perkiraan atas realiti yang berlaku sebelum mempersendakan Keadilan. Kelemahan Keadilan itu bukan kerana dirinya tetapi ia disebabkan rakannya sendiri iaitu Pas.

Wan Nik sebagai master mind dalam Pas Kelantan perlu melihat perkara ini sewajarnya. Beliau juga harus mengambil kira konteks kerjasama Pas - Keadilan bukan sahaja di Kelantan, tetapi perlu menjenguk ke luar dalam persada lebih luas. Melihat konteks kerjasama dalam skop lebih luas sehingga untuk merampas Putrajaya.

Apabila Wan Nik menyatakan bahawa Keadilan bukan parti besar, gah dan memberi kekuatan kepada Pas menjelaskan pandangan cukup negatif dan tidak ada usaha untuk membantu Keadilan seperti mana sepatutnya. Pandangan sebegitu bersifat 'agah' dan 'meta' dan ia bukan lahir dari seorang yang berjanji untuk saling membantu bagi meruntuhkan Umno.

Sebaiknya Wan Nik dan pemimpin Pas Kelantan melihat macam mana bentuk kerjasama dalam Pakatan di negeri-negeri lain yang membawa kejayaan besar kepada kedua-dua pihak. Beliau harus menyedari kerana kerjasama dan sokongan Keadilan Pas mendapat kejayaan gemilang seperti di Selangor, Perak atau Terengganu di mana Pas memperolehi kemenangan besar adalah kerana sokongan rakan dalam Pakatan, DAP dan Keadilan. Hakikat ini perlu diinsafi oleh Pas.

Lainlah kalau Pas Kelantan selepas bertukar tangan kuasa pemerintah dari Nik Abdul Aziz Nik Mat kepada Ahmad Yaakub kini mempunyai pandangan dan pendekatan baru dalam kerjasama politik, sudah tidak perlukan Keadilan, lagi sebaliknya mahu berbaik-baik dan 'bercium mulut' dengan Umno pula. Kalau begitulah pantas kalau Wan Nik Wan Yusuf memandang Keadilan bagaikan anak kuman kurup yang berpenyakit

Tiada ulasan: