Ahad, 29 Disember 2013

BN ‘turun takhta’ sebelum PRU14?



Oleh ZULKIFLI YAHAYA


SEKARANG adalah masa paling sibuk bagi pakarpakar propaganda dan para konspirator BN cuba menutup atau mengalih isu tekanan kos hidup yang dihadapi rakyat Malaysia.

Jika isu bebanan kos hidup akibat kenaikan harga barang dan perkhidmatan tidak dialihkan, kerajaan BN menghadapi ancaman paling serius terhadap survival kuasa mereka. Kerajaan yang mentadbir diberi mandat oleh 47 peratus pengundi.

Kalangan 47 peratus itu terdiri daripada undi pos yang diragui, undi daripada penerima ‘rasuah’ serta daripada kakitangan kerajaan yang diugut untuk tidak menyokong selain BN jika tidak mahu mendapat susah. Di kalangan itu juga terdapat mereka yang menyokong BN kerana tidak tahu membezakan antara BN dan kerajaan lantaran kejahilan.

Mereka tertipu dengan propaganda BN.

Sekarang, semua golongan yang pernah memberi mandat kepada BN sehingga parti tua itu berjaya membentuk kerajaan, sedang didera dengan bebanan kos hidup melampau. Kenaikan harga barangan melanda Malaysia macam banjir besar yang melanda Pantai Timur tempoh hari. Ia tidak mengenal rumah orang Umno, PAS atau atas pagar. Semuanya terima nasib yang sama.

Pengerusi Kira-kira Wang Negara (PAC), Dato’ Nur Jazlan Mohamed berkata, akibat kenaikan kos hidup maka BN akan mengalami kekalahan lebih teruk teruk pada PRU14 di bandar dan separa bandar. Kenyataan itu untuk menyedap hati BN. Hakikatnya tekanan kos hidup tidak hanya dirasai oleh masyarakat Cina yang mendiami bandar atau masyarakat Melayu kelas menengah dan terpelajar yang menghuni bandar atau separa bandar. Tekanan kos hidup akan turut dirasai oleh orang Melayu luar bandar, selagi mereka perlu makan untuk meneruskan sisa hidup. Ertinya seluruh rakyat jelata akan merasai tekanannya.

Sejarah menunjukkan bahawa ‘rakyat yang kelaparan’ mampu menumbangkan kerajaan lebih cepat dan kuat berbanding dengan isu lain. Apatah lagi jika ia dibantu dengan elemen kemewahan hidup para pemimpin kerajaan yang memerintah serta keluarga mereka.

Revolusi Perancis yang berjaya menumbangkan kerajaan apabila rakyat ditindas dengan cukai yang tinggi sedangkan Raja Louis XVI dan Maria Antoinette bermewahmewah dengan wang rakyat.

Pemerintahan Zine El Ebidin Ali di Tunisia ditumbangkan dengan kuasa rakyat yang turun ke jalan raya apabila menyampah dengan kemewahan isterinya Leila dan keluarga Presiden itu di saat rakyat diulit masalah ekonomi. Ferdinand Marcos digulingkan pada 1986 apabila rakyat yang tertekan dengan masalah ekonomi muak dengan kekayaan keluarga Marcos, khususnya isteri beliau Imelda yang mempunyai kemewahan luar biasa.

Penyakit yang dihadapi oleh pemimpin kerajaan daripada parti yang terlalu lama memerintah sama sahaja, iaitu mementingkan penganugerahan kekayaan untuk keluarga dan kroni. Lebih-lebih lagi isteri tercinta.

Satu Malaysia tahu hebatnya ‘Wanita Pertama Malaysia’ Rosmah Mansor di mata Perdana Menteri sehingga Perhimpunan Agung Umno dijadikan medan memuja muji isterinya sehingga ramai kalangan rakyat yang melugailugai.

Kemewahan hidup Rosmah- Najib sudah lama diperkatakan. Daripada cincin dan beg tangan mewah hinggalah pakej makan angin ke luar negara yang luar biasa.

Kos lawatan ke luar negara sahaja dilaporkan bernilai RM17 juta, kos pengurusan jet mewah RM100 juta, bil air dan elektrik RM2.5 juta. Pendedahan yang paling mengejutkan rakyat di Baling dan Sik ialah kos penginapan mereka di Dubai dilaporkan RM140,000 untuk satu malam.

Kemewahan tidak hanya berkisar pada keluarga Perdana Menteri. Sebahagian besar pemimpin politik BN adalah kaya dan mampu pula melebarkan kemewahan kepada kaum keluarga serta kroni. Mereka mampu membolot projek kerajaan dengan mudah dengan harga projek yang di luar kemunasabahan. Inilah proses utama yang menyumbang kepada ketirisan wang negara antara RM20-RM30 bilion setahun.

Sebuah majalah di Kanada, Frank mendedahkan anak Ketua Menteri Sarawak, Jamilah Taib sebagai ‘wanita paling kaya’ di Kanada dengan pemilikan aset berjumlah RM1.2 bilion. Turut dipetik dari majalah itu ialah kekayaan Taib Mahmud selama 30 tahun menghimpunkan kekayaan dianggar berjumlah RM15 bilion menerusi syarikat-syarikat keluarganya dengan mendapatkan kontrak utama di Sarawak.

Busuknya cerita pemimpin politik Malaysia mengumpul kekayaan berbau hingga seantero dunia. Bagaimanapun, itu cuma catatan satu daripada 1,001 cerita para pemimpin BN mengkayakan keluarga serta kroni.

Kini kerajaan BN sibuk menaikkan harga barangan terkawal bagi mempastikan hasil kekayaan kroni tidak susut sekalipun yang menderita adalah rakyat yang pernah memberi undi menaikkan mereka. Bermula dengan petrol, diesel dan gula kini tarif elektrik dan tol akan dinaikkan.

Maka semua harga barangan dan perkhidmatan akan turut naik tanpa disuruh.

Selepas ini akan muncul Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST) sebanyak enam peratus.

Rakyat akan terus dimiskinkan dan kerajaan akan membolot RM27 bilion. Kadar inflasi akan naik melambung-lambung tanpa dapat dikawal lagi.

Para menteri usahlah beretorik dengan statistik ekonomi yang orang kampung tidak boleh faham, kononnya ada rasionalnya kerajaan menaikkan harga barangan/perkhidmatan tertentu.

Orang kampung cuma mahu tahu mengapa hampir semua harga barangan naik mendadak? Takkan kerajaan tak boleh buat apa-apa? Apa guna jadi kerajaan kalau tak dapat ringankan bebanan rakyat? Dalam perniagaan terdapat satu konsep ‘pelanggan sentiasa betul’.

Dalam politik Malaysia (hanya di Malaysia) terdapat pula ‘kerajaan sentiasa betul’…. maksudnya kerajaan BN. Lihatlah GST yang terang-terangan merampas hak orang miskin cuba dibenarkan melalui kempen agresif kerajaan bahawa GST akan membawa kebaikan untuk rakyat.

Naikkan harga barang pun kerajaan betul juga kerana kononnya menghapuskan subsidi demi untuk kegunaan rakyat.

Mujur rakyat Malaysia ramai yang masih boleh diperbodohkan oleh pemimpin kerajaan.

Tapi nampaknya untuk kali ini, saya meramalkan rakyat akan bangkit membetulkan kerajaan.
Sekalipun tidak menunggu sehingga PRU14. Tidak mustahil!

Tiada ulasan: