Khamis, 28 November 2013

SD Mat Zain: Sengaja ditutup?

OLEH ELIZABETH ZACHARIAH

 


















Keengganan Putrajaya menjalankan siasatan berhubung tuduhan terhadap Peguam Negara oleh bekas polis kanan dilihat sebagai konspirasi untuk “menutup” kesalahan yang dilakukan pegawai kanan kerajaan, kata Pakatan Rakyat.

Mereka berkata akuan bersumpah (SD) oleh bekas Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Kuala Lumpur, Datuk Mat Zain Ibrahim terhadap Peguam Negara, Tan Sri Abdul Gani Patail (gambar) membawa merit kepada siasatan tetapi sikap berdiam diri Putrajaya menunjukkan ada unsur untuk menutup perkara itu.

Ahli Parlimen Padang Serai dari PKR, N Surendran, mendakwa ini adalah senario biasa apabila membabitkan rasuah dan salah laku oleh mereka di dalam kerajaan.

“Daripada peringkat tertinggi di Putrajaya hingga ke bawah, sudah jelas mereka mahu menutup tuduhan ini,” katanya kepada The Malaysian Insider.

Surendran berkata demikian ketika mengulas kenyataan Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi semalam bahawa polis tidak akan menyiasat tuduhan dalam SD Mat Zain berikutan tiada laporan polis dibuat.

Mat Zain berkata, dua hari lalu, beliau menyerahkan salinan SD kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak dan pegawai kanan Putrajaya, menuduh salah laku Gani berhubung kes pemilikan Pulau Batu Puteh.

Menerusi SD setebal 31 halaman itu, Mat Zain mendakwa, jutaan ringgit bertukar tangan dan didepositkan ke dalam akaun bank di Hong Kong berhubung kes Pulau batu Puteh, di mana keputusan Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ) berpihak kepada Singapura.

Mat Zain mendakwa, Abdul Gani dengan sengaja menyebabkan kes itu kalah sehingga membawa kepada keputusan ICJ berpihak kepada Singapura.

Beliau mendesak pihak berkuasa menyiasat sebab sebenar Malaysia kehilangan pulau itu kepada Singapura dengan menyatakan ia adalah perkara membabitkan kedaulatan negara.

Ahmad Zahid berkata, pihak berkuasa akan mempertimbangkan untuk menyiasat tuduhan itu jika laporan polis dibuat mengenainya dan pengisytiharan SD tidak membawa kepada laporan polis, maka tidak ada kertas siasatan yang dibuka.

Surendran yang menyelar kenyataan itu berkata, mengikut Akta Polis, tidak ada dinyatakan keperluan laporan polis untuk menjalankan siasatan.

“Bagaimana jika kes bunuh atau rompakan bersenjata? Adakah mereka tidak akan siasat kes seperti itu sehingga ada laporan dibuat?

“Sepatutnya, jika polis tahu atau dengar mengenai apa-apa salah laku, mereka bertanggungjawab untuk menyiasat walaupun tidak ada laporan,” katanya yang juga seorang peguam.

Ahli parlimen Shah Alam, Khalid Samad, berkata “sangat pelik” apabila Putrajaya tidak mengambil tuduhan Mat Zain secara serius.

“Ia adalah jelas satu tuduhan yang serius. Ia membabitkan pengkhianatan dan rasuah yang mengancam kedaulatan negara.

“Dan siasatan tidak dilakukan hanya kerana tidak ada laporan polis dibuat,” katanya.

Menggambarkan alasan Ahmad Zahid untuk tidak menyiasat tuduhan Mat Zain sebagai tidak kukuh langsung, Khalid berkata, kes itu perlu dibawa kepada Yang di-Pertuan Agong.

“Ia kelihatan seperti kedaulatan negara kita dijual. Ini bukan perkara kecil,” kata ahli politik PAS itu.
Mat Zain sebelum ini turut mempersoalkan sikap Najib yang berdiam diri terhadap SD itu.

Beliau berkata, jika Najib memaklumkan SD yang dihantar ke pejabatnya pada 9 Oktober itu kepada umum, hasil keputusan pemilihan Umno yang diadakan penghujung bulan berkenaan pasti berbeza.

Mat Zain berkata, perwakilan Umno pasti dapat tahu apa sebenarnya yang berlaku di sebalik tabir dan keputusan pemilihan mungkin berbeza kerana Abdul Gani dikatakan melindungi beberapa perwakilan yang bertanding bagi jawatan tertinggi parti.

“Semua orang boleh membuat kesimpulan bahawa selama ini Peguam Negara berperanan melindungi pemimpin Barisan Nasional yang dituduh rasuah apabila mahkamah sering membebaskan mereka daripada tuduhan dengan alasan kes pendakwaan lemah,” kata Ahli Parlimen Pandan daripada PKR, Rafizi Ramli.

Beliau berkata, ini adalah kali pertama pegawai kanan kerajaan mendedahkan punca kekalahan Pulau Batu Puteh kepada Singapura; yang membawa kepada kesalahan lebih serius iaitu rasuah.

“Jika Perdana Menteri menuduh rakyat yang tidak membayar cukai sebagai pengkhianat, maka keengganan Putrajaya untuk bertindak terhadap SD Mat Zain menunjukkan pembabitannya melindungi tuduhan pengkhianatan yang dilakukan Peguam Negara,” katanya yang merujuk kepada kenyataan Najib sebelum ini iaitu sesiapa yang tidak membayar cukai boleh dianggap sebagai mengkhianat negara kerana tanggungjawab membayar cukai adalah tiang patriotisme.

“Tiada tindakan daripada Najib memberi gambaran bahawa Peguam Negara memegang ahli politik Barisan Nasional sebagai tebusan kerana aktiviti rasuah yang menjadi-jadi di semua peringkat dalam kerajaan,” katanya.

Tiada ulasan: