Pas   
 
Parti PAS 

YAN - Tatkala kempen pilihan raya kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (Dun) Sungai Limau memasuki hari keempat, jentera Pas dilihat lebih fokus kepada usaha mengurangkan kredibiliti Menteri Besar Kedah Datuk Mukhriz Tun Dr Mahathir.
  
Kalangan penganalisis politik berpendapat Pas mula merencanakan strategi bagi mengurangkan pengaruh politik Mukhriz pada PRK ini yang melibatkan pertandingan satu lawan satu antara calon Barisan Nasional (BN) Dr Ahmad Sohaimi Lazim dan calon Pas Mohamad Azam Abd Samat.
 
Ini termasuk membangkitkan isu kononnya Mukhriz ditolak oleh anggota Umno sendiri ekoran kegagalan beliau merebut jawatan naib presiden pada pemilihan parti yang lepas, di samping mendakwa Menteri Besar itu masih dibayangi bapanya bekas perdana menteri Tun Dr Mahathir Mohamad.
  
Menurut mereka, Pas kelihatan gusar dengan gaya kepimpinan Mukhriz yang lebih mesra rakyat sekali gus mencerminkan personaliti yang hampir sama dengan bekas Menteri Besar Kedah Allahyarham Tan Sri Azizan Abdul Razak dari Pas yang merupakan penyandang kerusi DDun Sungai Limau sejak pilihan raya umum (PRU) 1995.
  
"Sifat yang mesra kepada rakyat adalah antara faktor mengapa Azizan begitu disenangi pihak kawan mahupun lawan. Dan Mukhriz bukannya cuba mengikut gaya Azizan kerana itu memang keperibadian dia sendiri," kata penganalisis politik Universiti Teknologi Mara (UiTM) Prof Dr Nasrudin Mohamed kepada Bernama.

Nasrudin berkata Pas dilihat akan memanfaatkan sebaiknya peluang ini bagi mengembalikan keyakinan rakyat Kedah kepada mereka apatah lagi parti itu sedang mengalami penurunan populariti apabila negeri ini jatuh kembali ke tangan BN.
 
Katanya, kedua-dua pihak sedar kemenangan ke atas kerusi Dun Sungai Limau tidak dapat mengubah fakta bahawa Kedah akan terus dipimpin oleh BN ekoran kedudukan semasa ialah BN menguasai 21 kerusi dan pakatan pembangkang 14 kerusi.
  
Namun, beliau berpendapat PRK ini adalah peluang terbaik bagi Pas untuk memastikan Mukhriz tewas dalam usahanya pertama kali memimpin jentera BN sebagai Menteri Besar di samping memperoleh semula keyakinan rakyat kepada Pas.
  
"Apatah lagi dengan cara Mukhriz yang lebih gemar turun berjumpa dengan rakyat tempatan bagi mendengar permasalahan mereka, berkampung bersama dan menjadi sebahagian dari masyarakat tempatan, khususnya di Dun Sungai Limau.
  
"Kerana bagi mereka Mukhriz merupakan pemimpin generasi baharu BN yang dilihat mampu memimpin Kedah untuk jangka masa melebihi satu penggal seandainya tiada usaha dilakukan untuk menjatuhkan beliau," katanya.

Oleh itu, menurut Nasrudin, Pas dan pakatan parti pembangkang akan menggunakan pelbagai cara bagi memastikan kredibiliti Mukhriz menurun ekoran popularitinya semakin meningkat dalam kalangan rakyat tempatan.
  
Penganalisis politik dari Universiti Utara Malaysia (UUM) Mohd Faisol Keling yang sependapat dengan Nasrudin berkata Pas sedang mengalami dilema untuk memastikan calon pilihan mereka sama taraf atau lebih baik daripada Allahyarham Azizan sendiri.
  
"Antara masalah yang dihadapi jentera Pas ialah untuk meyakinkan rakyat setempat bahawa mereka boleh gantikan tempat Ustaz Azizan.
  
"Ini mungkin dari segi ketandusan isu untuk diketengahkan...malah kekalahan pada pilihan raya umum baru-baru ini menjadi satu beban kepada mereka untuk mencari jalan dalam usaha mengembalikan keyakinan rakyat kepada mereka," katanya.
  
Mohd Faisol berkata, jika Pas terlalu mengkhususkan usaha kepada menjatuhkan Mukhriz, ini boleh mengakibatkan masyarakat Dun Sungai Limau curiga terhadap keikhlasan mereka kerana isu kebajikan rakyat yang harus menjadi keutamaan di dalam berkempen.
  
"Inilah antara perkara yang perlu rakyat, khususnya penduduk Sungai Limau nilai dari segi keikhlasan, meletakkan kepentingan masyarakat melebihi agenda politik berkepentingan," katanya.
  
Pengundian PRK Dun Sungai Limau akan diadakan pada 4 Nov ini bagi mengisi kekosongan kerusi itu berikutan kematian penyandangnya Azizan pada 26 September lepas. - Bernama