Sabtu, 26 Oktober 2013

Pegawai urus hal ehwal Mualaf di setiap masjid


mualaf 1


SHAH ALAM  : Seorang pegawai bagi menguruskan hal ehwal Mualaf bakal ditempatkan di setiap masjid di negeri itu pada tahun hadapan dengan peruntukan daripada Lembaga Zakat Selangor (LZS) antara RM30 juta – RM40 juta setahun.

Exco Hal Ehwal Islam, Permodenan Pertanian dan Pembangunan Desa, Sallehen Mukhyi, berkata setiap daerah akan mempunyai peruntukan kira-kira RM6 juta setahun diharap agar golongan itu terus mendapat bimbingan dan program secara berterusan.

mualaf 2

Katanya, sebelum ini hanya seorang pegawai mengurus hal ehwal mualaf untuk setiap daerah yang perlu menguruskan peruntukan kira-kira RM6 juta.

“Ianya bukan soal kewangan tetapi berkenaan keberkesanan program yang dijalankan dan ia nanti diharap menjadi kekuatan untuk mengkoordinasi antara Mualaf bagi menjinakkan hati mereka lebih mendekati ajaran Islam,” kata beliau.

Sallehen berkata demikian semasa perasmian Program Multaqa Masjid 2013 yang diadakan di Masjid Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah di sini.

Seramai 400 pemuda wakil dari masjid-masjid seluruh daerah hadir dalam program yang bertujuan memupuk kecenderungan golongan belia agar mencintai masjid.

Kata Sallehen, beliau berharap peranan Masjid dipertingkatkan dengan merancakkan aktiviti agar menjadi pemangkin kepada kemajuan ilmu dan dapat menarik pelbagai peringkat masyarakat.

“Kita harap masjid-masjid di negeri Selangor menjadi naungan untuk mereka yang cintakan kepada ilmu,” kata beliau.

Katanya, golongan muda perlu proaktif melaksanakan program pengimarahan masjid dengan kreatif menggunakan pelbagai strategi dakwah supaya lebih ramai masyarakat menyertai program yang dianjurkan.

“Kita mahu masjid menjadi pusat komuniti masyarakat yang menempatkan pelbagai kemudahan seperti Wifi dan dewan yang boleh digunakan untuk aktiviti masyarakat.

“Diharap para belia juga memainkan peranan penting untuk menarik golongan belia yang lain,” kata beliau

Tiada ulasan: