Khamis, 31 Oktober 2013

PAC perlu siasat RM7 bilion perbelanjaan meragukan JPM, kata DAP

OLEH MOHD FARHAN DARWIS
 
















DAP hari ini menuntut agar Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC), Jabatan Audit Negara menyiasat penggunaan RM6.08 bilion Jabatan Perdana Menteri yang tidak mempunyai butiran jelas kegunaannya.

Ahli Parlimen Kluang Liew Chin Tong (gambar) mendakwa, peruntukan Bajet 2014 bagi JPM itu termasuk RM4 bilion dana fasilitasi, RM1 bilion untuk program pembangunan dan RM900 juta untuk penyusunan semula masyarakat.

Perbelanjaan lain termasuk juga projek khas RM202.8 juta dan projek mesra rakyat RM665 juta.


 "Saya menyeru kerajaan dan menteri bertanggungjawab, Datuk Seri Idris Jala untuk menjelaskan penggunaan dana berkenaan," kata Liew di Parlimen, Kuala Lumpur.


Liew turut mendakwa senarai penggunaan dana berkenaan juga hanyalah permulaan daripada keseluruhan bajet yang mempunyai kelompangan dan boleh digunakan untuk membiayai penyokong politik Perdana Menteri.

Tambahnya lagi, peningkatan 13% perbelanjaan jabatan berkenaan yang bernilai RM14.6 bilion pada 2013 kepada RM16.5 bilion untuk 2014 juga keterlaluan.

"Keseluruhan Bajet 2014 yang diumumkan pun hanya meningkat sebanyak 1.5% daripada RM260 bilion pada 2013 kepada RM264 bilion," katanya.

Malah, peningkatan daripada RM3.6 bilion pada 2003 kepada RM16.5 bilion pada 2013 melangkaui bajet kementerian lain sejak sedekad lalu, katanya.

Tiada ulasan: