Ahad, 27 Oktober 2013

Najib wajar nasihati Muhyiddin untuk beradab

Salmiyah Harun|Foto Wan Zahari,


JERAI: PAS menggesa Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak menasihati Timbalannya supaya tahu adab dan sopan masyarakat di Dun Sungai Limau.

Naib Presiden PAS Datuk Mahfuz Omar berkata, dalam masa Umno BN berazam untuk bercakap politik harmoni di Sungai Limau, malangnya Tan Sri Muhyiddin Yassin pula 'menghina' pengundi di sini.

"Beliau (Muhyiddin) kena sedar hubungan kehidupan Allahyarham Tan Sri Azizan dengan rakyat Sungai Limau umpama satu keluarga.

"Minta beliau tahu budaya dan adab susila dan budi bahasa orang Kedah khususnya di Sungai Limau," katanya kepada media di Markaz Induk PAS PRK Sungai Limau.

Mahfuz melahirkan kekesalan dengan kenyataan Muhyiddin yang cuba mengaitkan Allahyarham dengan pertahankan kenaikan harga gula semalam.

Namun, Mahfuz menghargai sikap ikhlas Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan Datuk Hassan Malek yang mengakui kenaikan harga gula itu untuk mengurangkan bebanan kerajaan.

"Alasan menteri itu lagi ikhlas, dan inilah motif utama memansuhkan subsidi gula, bukannya untuk menggurangkan penyakit kencing manis,"katanya.

Malah Mahfuz difahamkan ketika mengeluarkan kenyataan tidak beradab itu Muhyiddin dikatakan 'gelak-gelak dan main-main'.

"Saya cukup sedih, bagaimana kamu atau anak, isteri yang baru kehilangan orang yang tersayang tiba-tiba...," ujar Mahfuz dengan nada sedih.

Justeru katanya, apa yang dilakukan oleh Timbalan Perdana Menteri sudah tentu Perdana Menteri turut menerima tempiasnya.

Semalam, Muhyiddin dalam majlis pertemuannya bersama guru dan ibubapa pelajar sekolah sekitar Yan dan Kuala Muda pagi tadi mempertahankan pengurangan subsidi gula sebanyak 34 sen yang diumumkan kerajaan dalam pembentangan Bajet 2014 semalam dan berkuatkuasa semalam.

Jelas Muhyiddin ia dilakukan untuk manfaat orang ramai dan hadirin yang hadir perlu mengambil iktibar daripada penyakit kencing manis yang dideritai allahyarham Tan Sri Azizan Abdul Razak.

Tiada ulasan: