Selasa, 29 Oktober 2013

Minta maaf: Mukhriz gagal jadi teladan anak muda

Muhammad Faizal,
 

JERAI: Menteri Besar Kedah, Datuk Mukhriz Mahathir dilihat gagal menjadi teladan kepada generasi muda apabila enggan memohon maaf kepada keluarga Allahyarham Tan Sri Ustaz Azizan Abd Razak bagi mewakili Timbalan Perdana Menteri (TPM) yang telah menghina keluarga itu yang mengaitkan penyakit Ustaz Azizan dengan kenaikan harga gula.

Malah kenyataan Mukhriz turut dilihat menghina apabila tidak ada perasaan tanggungjawab dan sebaliknya menuduh PAS cuba mempolitikkan isu tersebut.

Pengarah Jawatankuasa Induk Pilihan Raya Kecil (PRK) Dun Sungai Limau, Datuk Mahfuz Omar pada sidang media di Markas Induk melahirkan kesal dengan kenyataan Mukhriz apabila membela kenyataan Muhyiddin tanpa ada sikap bertanggungjawab.

"Saya kecewa dengan kenyataan Mukhriz, sepatutnya beliau tidak membela kenyataan Muhyiddin dan sebaliknya beliau tampil bertanggungjawab mewakili TPM memohon maaaf atas penghinaan kepada Ustaz Azizan dan keluarga.

"Secara jelas Muhkriz gagal menjadi teladan kepada generasi muda atas sikap beliau itu, malah yang paling hina apabila tidak ada perasaan tanggungjawab sebagai Menteri Besar dalam isu itu sebaliknya menuduh PAS yang mempolitikkan kenyataan TPM," jelasnya.

Tambah Mahfuz lagi, kenyataan Muhkriz itu bukan perkara yang boleh meredakan keadaan tetapi telah menambahkan kedukaan keluarga Ustaz Azizan

"Semalam keluarga Ustaz Azizan meminta agar TPM memohon maaf atas apa yang berlaku, dalam masa mereka sedang bersedih dan genap sebulan pemergian Allahyarham, kenyataan yang dikeluarkan Muhyiddin adalah tidak wajar.

"Ini semuanya menambahkan kedukaan serta kesedihan mereka, namun Muhkriz cuba membela Muhyiddin katakan ia dipolitikkan oleh PAS, ini tak betul,” ujarnya.

Pesuruhjaya PAS Kedah itu menggesa agar Muhkriz mengambil pendekatan terbaik dalam menjaga hubungan antara kerajaan dengan rakyat.

"Menteri Besar Kedah perlu bertanggungjawab dalam isu ini, apakah beliau sanggup melihat ada keluarga yang sedih dengan kenyataan tersebut, TPM perlu fikir positif bukan mengeluarkan kenyataan sedemikian.

"Saya harap Mukhriz menjadi contoh kepada orang muda, tunjukkanlah akhlak yang baik dan menjadi contoh kepada semua," tambah beliau.

Tiada ulasan: