'Maklumat diri saya benar'  
 
Mohd Azam (kiri) mengetuai bacaan doa pada satu majlis kenduri di Kampung Pulau Nyiur, Bukit Besar, Yan.

YAN - Calon Pas, Mohd Azam Abdul Samat berkata, maklumat berkaitan diri beliau yang terdapat dalam risalah adalah benar.

“Perkara itu (risalah kempen) telah pun dijelaskan oleh kepimpinan. Apa yang penting sebenarnya maklumat berkaitan diri saya, pengalaman, kerjaya dan sebagainya adalah benar.

“Insya-ALLAH apa yang penting untuk disampaikan kepada masyarakat di Sungai Limau ini adalah saya anak tempatan dilahirkan dan dibesarkan di Dun ini,” katanya.

Beliau berkata demikian, ketika diminta mengulas mengenai penggunaan gambar superimpose yang melibatkan dirinya dalam risalah kempen Pas bagi PRK Sungai Limau.

Mengulas mengenai perkembangan hari keenam kempen di Sungai Limau, beliau berkata penerimaan masyarakat amat baik.

“Saya akan cuba sedaya mungkin untuk turun padang berjumpa dengan pengundi-pengundi di Dun Sungai Limau. Insya-ALLAH setakat ini, pengundi memberi banyak respond yang baik dan kita harap respond positif ini akan berterusan,” katanya.

Semalam, Sinar Harian melaporkan, Pas mengakui terlepas pandang sekeping gambar yang dimuatkan dalam risalah calon Pas.

Menurut laporan itu, Pengarah Operasi PRK Dun Sungai Limau, Datuk Ir Amiruddin Hamzah berkata, semua urusan reka bentuk, pengumpulan maklumat dan pemilihan gambar diserahkan kepada kumpulan pereka yang sudah biasa melakukan kerja percetakan parti pada sebelum ini.

Beliau berkata, Pas memberi kepercayaan kepada mereka dan hanya menyerahkan hasil kerja akhir untuk semakan.