Isnin, 28 Oktober 2013

Kalimah Allah: Peguam Sabah sokong gereja Katolik kemuka rayuan

OLEH V ANBALAGAN, PENOLONG PENGARANG BERITA

Masyarakat Kristian di Sabah dan Sarawak menggunakan kitab Injil berbahasa Melayu. Gambar fail.Masyarakat Kristian di Sabah dan Sarawak menggunakan kitab Injil berbahasa Melayu. Gambar fail.





















Persatuan Peguam Sabah (SLA) menyokong usaha gereja Katolik dalam rayuannya ke Mahkamah Persekutuan bagi mencabar keputusan berhubung isu kalimah Allah yang dilihat eksklusif kepada umat Islam sahaja.
SLA mengadakan pertemuan pada Sabtu dan mencapai kata sepakat berdasarkan keputusan Mahkamah Rayuan pada 14 Oktober lalu bahawa ia melanggar hak penganut Kristian di Sabah yang dilindungi dalam Perlembagaan.

“SLA akan memohon untuk turut serta dalam perbicaraan di Mahkamah Persekutuan,” kata seorang ahlinya kepada The Malaysian Insider.



 Presiden SLA, Datuk  G B B Naandy@Gaanesh dijangka mengeluarkan kenyataan rasmi tidak lama lagi.


Keputusan SLA untuk menyertai rayuan tercetus apabila laporan pada Sabtu memberitahu Putrajaya menahan 2,000 naskhah Herald edisi minggu ini di Sabah sebaik tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kota Kinabalu pada Khamis.

Akhbar itu mendapat kebenaran untuk diedarkan pagi semalam namun tidak dapat diedarkan ke gereja.
Keputusan menghalang pengedaran itu dibuat meskipun Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak memberi jaminan Isnin lalu bahawa penganut Kristian di negeri itu bebas menggunakan kalimah Allah dalam upacara keagamaan dan penerbitan mereka.

Hasil pemeriksaan dengan peguam sivil mendapati, SLA boleh memohon untuk menyertai perbicaraan sama seperti kes peguam Islam yang menyertai perbicaraan Mahkamah Rayuan.

Kaedah lain adalah dengan Mahkamah Persekutuan sendiri menjemput SLA untuk hadir ke mahkamah namun masih belum dapat dipastikan kaedah mana yang akan dikenakan kepada SLA.

Pada 14 Oktober lalu, Mahkamah Rayuan membenarkan Putrajaya menghalang Herald daripada menggunakan kalimah Allah kerana kalimah itu bukan perkara asas dalam kepercayaan dan amalan penganut Kristian.

Sementara itu, peguam gereja Katolik berkata, mereka akan memfailkan rayuan pada minggu hadapan.
Minggu lalu The Malaysian Insider melaporkan ahli politik dari Malaysia Timur berkata, keputusan Mahkamah Rayuan adalah satu pencabulan kepada perjanjian Malaysia.

Peguam perundangan turut berpandangan sedemikian dengan menjelaskan keputusan itu jelas  melanggar perjanjian Malaysia 1963 sekiranya penganut Kristian di Malaysia Timur dilarang menggunakan kalimah Allah dalam mana-mana bahagian Persekutuan.

Pengerusi Parti Reformasi Negeri Sabah (Star), Datuk Dr Jeffrey Kitingan, berkata keputusan Mahkamah Rayuan melanggar syarat pertama perjanjian yang menyentuh kebebasan beragama.

"Syarat pertama daripada 20 yang dimeterai di Sabah serta 18 syarat yang dimeterai di Sarawak sebelum Malaya bersetuju membentuk Malaysia menyatakan: "Selagi tiada halangan Islam sebagai agama kebangsaan di Malaysia maka tiada agama rasmi di Borneo (Sabah dan Sarawak) serta peruntukan berkaitan Islam dalam Perlembagaan Malaya tidak terpakai kepada Borneo."

Kitingan berkata, Perdana Menteri pertama, Tunku Abdul Rahman memberi jaminan jelas berhubung kebebasan beragama di Parlimen pada 16 Oktober 1961.

Beliau memetik kenyataan Tunku: "Satu reaksi di kawasan Borneo berhubung konsep Malaysia adalah percubaan menjajah Borneo. Saya katakan sebelum ini bahawa mustahil Persekutuan boleh menjajah kerana kita mahukan kesamarataan dan status yang sama di antara satu sama lain. Jadi, tidak perlu bimbang akan hal itu kerana Islam tidak dikuatkuasakan di Borneo. Semua orang bebas mengamalkan apa-apa agama.”

Kitingan berkata, etnik di Sabah memahatkan jaminan kebebasan beragama dalam perjanjian Malaysia itu secara bertulis di Batu Sumpah.

“Ia dinyatakan selagi kebebasan beragama dihormati, kami akan setia kepada Malaysia,” katanya yang pernah mengasaskan Barisan Borneo Bersatu (UBF) sebuah organisasi bukan kerajaan yang bertujuan menjaga hak Sabah dan Sarawak seperti dinyatakan dalam 20-syarat dan 18-syarat perjanjian.

Pengerusi PKR Sarawak, Baru Bian turut sependapat dengan Kitingan bahawa keputusan Mahkamah Rayuan melanggar terma perjanjian tersebut.

“Keputusan ini satu pengkhianatan kepada generasi terdahulu semasa mereka bersetuju menyertai Malaysia.
“Hak Sarawak dan Sabah turut dilindungi dalam Kertas Kerajaan ‘Malaysia dan Sarawak’ bertarikh 4 Januari 1962.”

Baru berkata,dokumen itu menyatakan “meskipun Malaysia sebagai agama rasmi Persekutuan, agama lain bebas untuk diamalkan. Kebebasan penuh beragama dijamin dalam Perlembagaan Persekutuan.

“Keputusan mahkamah ini mengesahkan kebimbangan pemimpin terdahulu dan 60% mereka yang menentang pembentukan Malaysia pada 1963,” katanya.

Peguam Karpal Singh, berkata Perlembagaan memberi jaminan kepada Malaysia Timur untuk mereka mengamalkan agama di kawasan jajahan mereka.

“Sebagai contoh, penganut Kristian di Sabah dan Sarawak mesti dibenar menggunakan kalimah itu di bahagian lain di Malaysia atau ini akan melanggar perjanjian,” katanya kepada The Malaysian Insider.

Beliau berkata, agak malang apabila perjanjian itu dan kesan kepada penganut Kristian tidak disebutkan dalam Mahkamah Rayuan.

Tiada ulasan: