Ahad, 27 Oktober 2013

Jamil Khir kata bapanya hanya amin doa

 

 
 
Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Jamil Khir Baharom menafikan dakwaan Naib Presiden PAS Datuk Mahfuz Omar bahawa bapanya Baharom Ramli mahu PAS menang dalam pilihan raya kecil Sungai Limau.

Katanya, bapanya tidak menyatakan sedemikian dan hanya mengaminkan doa ketika kunjungan Mahfuz dan calon PAS Mohd Azam Abd Samat, ke rumah tersebut di Kampung Sedaka, Kedah.

Jamil Khir mendakwa, tindakan pemimpin parti terbabit tidak mengikut adab kerana membaca doa untuk PAS semasa menziarah.
"Itu Mahfuz yang kata, tak ada pun Haji Baharom sebut begitu," katanya yang menyifatkan dakwaan PAS sebagai “mainan politik yang sangat rendah”.

Menurutnya, tindakan PAS itu menyebabkan bapanya, 77, yang lumpuh akibat serangan angin ahmar sejak tiga tahun lalu kini dalam keadaan tertekan.

"Bapa saya pun ada sebut dia tertekan dari sudut moral. Bila orang ziarah orang baca doa, dia pun tak tahu apa orang itu hendak sebut dia tolong aminkan saja.

"Bila begitu dia (PAS) kata bapa saya baca doa (untuk PAS) pula... Ada ke pergi rumah orang pi bagi kenyataan media di pintu rumah orang. Adab pun dah tak betul," katanya lagi.

Ditanya lanjut, Jamil Khir bagaimanapun enggan mengesahkan mengenai keanggotaan bapanya dalam PAS dan hanya menyatakan bahawa ia satu dakwaan Mahfuz.

Harakahdaily pada hari Jumaat lalu melaporkan kenyataan Mahfuz bahawa Baharom, mendoakan agar PAS terus menang di Sungai Limau dan berhasrat untuk bertemu timbalan presiden PAS, Mohamad Sabu.

Tiada ulasan: