Sabtu, 26 Oktober 2013

Bajet 2014: Anak muda jatuh, ditimpa tangga dan terhantuk kepala



Oleh Steven Sim


Bajet 2014 yang baru diumumkan oleh Perdana Menteri Najib Razak nampaknya tiada berita baik untuk anak muda Malaysia. Trilema anak muda tiada penyelesaian
Sebelum ini, saya telah membangkitkan bahawa anak muda di Malaysia kini menghadapi tri-lema:

1) Kadar pengangguran anak muda yang tinggi pada 10.3% dan penganggur yang paling ramai adalah daripada golongan berumur 20-24 tahun pada 40% daripada jumlah penganggur.

2) Kadar underemployment yang serius pada 15.1%; termasuk gaji rendah, 82.5% anak muda berumur 30 ke bawah mempunyai pendapatan kurang daripada RM3,000 sebulan.

3) Kadar brain drain yang tinggi, 2 dalam 10 orang siswazah berhijrah ke negara-negara OECD dan Singapura.

Keadaan ini bertambah teruk dengan masalah hutang di kalangan anak muda di mana 47% daripada anak muda terpaksa menghabiskan 30% dan lebih gaji bulanan mereka untuk membayar hutang.

Bajet 2014 ulang lagu lama untuk anak muda

Bajet 2014 ini tidak mempunyai strategi khusus menyelesaikan masalah sosioekonomi anak muda terutamanya dalam soal pekerjaan dan hutang selain mengulangi program-program latihan semula yang dilaksanakan sebelum ini. Jika program sebegini berkesan maka sudah tentu tidak wujud trilema di atas.

Lima sebab mengapa Bajet 2014 merugikan anak muda

Bukan sahaja Bajet 2014 tiada strategi khusus untuk menanangi tri-lema anak muda, malah anak muda bagaikan sudah jatuh ditimpa tangga dan kemudian terhantuk kepala.

Pertama, dengan pengenalan cukai barangan dan perkhidmatan (GST) sebanyak 6% maka, anak mudalah yang akan terbeban dengan teruk kerana mereka merupakan golongan sasaran budaya konsumerisme.

Kedua, 82.5% anak muda bergaji RM3000 ke bawah, mereka tidak perlu membayar cukai pendapatan sebelum ini. Justeru, pengumuman perluasan kurungan cukai di mana mereka yang bergaji RM4000 sebulan tidak perlu lagi membayar cukai langsung tidak membawa apa-apa manfaat baru kepada majoriti anak muda.

Ketiga, melalui GST, majoriti anak muda yang dahulunya tidak perlu membayar cukai pendapatan kini dijangka terpaksa membayar cukai baru sekurang-kurangnya RM660 (andaian bergaji lebih kurang RM2500 sebulan) dan mungkin mencecah RM1000 setahun. Pembayaran BR1M walaupun ditingkatkan hanyalah bagai masuk poket kanan, keluar poket kiri dan dijangka yang keluar akan lebih daripada yang masuk.

Keempat, pemansuhan subsidi gula bermakna anak muda yang sudah jatuh akibat trilema di atas, kini ditimpa tangga GST dan kemudian kepala pula terhantuk kenaikan harga makanan dan minuman.

Kelima, bagi anak muda Sabah dan Sarawak, perlaksanaan GST, pemansuhan subsidi dan ditambah dengan dasar kabotaj bermakna bukan sahaja harga barangan akan naik lebih tinggi berbanding di Semanjung, malah kos pengangkutan termasuk kapal terbang akan meningkat. Ini merupakan beban baru kepada penduduk Sabah dan Sarawak yang rata-rata bergantung kepada perkhidmatan kapal terbang untuk aktiviti sosioekonomi.

Anak muda mangsa Bajet 2014

Jelas, Bajet 2014 adalah berita sedih kepada anak muda Malaysia. Kami bakal menjadi mangsa kepada kerajaan pusat yang terpaksa melaksanakan dasar-dasar ikat perut (austerity) akibat kepincangan pentadbiran dan rasuah yang berleluasa selama ini.

*Steven Sim Chee Keong adalah ahli Parlimen Bukit Mertajam, Pengarah Pendidikan Politik Kebangsaan, DAPSY Malaysia dan juga Setiausaha Publisiti Negeri, DAPSY Pulau Pinang.

Tiada ulasan: