Khamis, 31 Oktober 2013

Azmin: BN kekal bajet defisit 16 tahun berturut-turut

KEADILAN DAILY


Bajet 2014 bersifat ‘Rich Man’s Budget, Poor To Get Poorer’. Langkah Kerajaan menarik balik subsidi gula untuk rakyat berjumlah RM551.25 juta  dan subsidi minyak masak untuk rakyat bernilai RM 505.4 juta akan terus membebankan rakyat. Kerajaan wajar memberikan perhatian di atas tuntutan Pakatan Rakyat supaya memecahkan monopoli industri gula.

Azmin

Untuk mencapai matlamat sebuah negara maju dan berpendapatan tinggi, belanjawan negara perlu menekan prinsip ‘fiscal discipline’ dan menggariskan strategi pembangunan yang peduli rakyat.

Belanjawan negara bukan sekadar bertujuan untuk meningkatkan hasil negara tetapi menguruskan perbelanjaan secara berhemah dan efisien dan mengambil langkah yang pro aktif untuk membanteras ketirisan dan amalan rasuah.

Pengagihan Kekayaan dan Kesenjangan Ekonomi

Jomo K.S dalam karya terbarunya berjudul ‘Malaysia @50 : Economic Development, Distribution and Disparities’ menegaskan bahawa kesenjangan pendapatan dan ekonomi telah sekian lama mendominasi perbincangan ekonomi, sosial dan politik di Malaysia. Hal ini bukan sahaja tidak selesai malah isu kesenjangan ekonomi, jurang pendapatan antara golongan kaya miskin telah menjadi perdebatan universal.

Situasi ini adalah sama seperti yang diungkap oleh Nobel Laureate, Paul Krugman dalam satu rencana bertajuk Rich Man’s Recovery dalam New York Times dalam satu pemerhatian yang dijalankan di Harvard Business School. Krugman melihat kesenjangan ekonomi yang melampau dalam komuniti pelajar telah menggamit perhatian dunia dan amat membimbangkan.

Kata Krugman: “This society claims to reward the best and brightest regardless of family background but in reality the children of the wealthy benefit from opportunities and connections unavailable to children of the middle and working classes.”

Menurut Krugman lagi, kajian ini membuktikan wujudnya kesenjangan pendapatan yang ketara di antara golongan maha kaya dan mereka yang berpendapatan rendah. Golongan maha kaya ini menikmati kekayaan di atas kesengsaraan majoriti yang lain. “If the rich are so much richer than the rest that they live in a different social and material universe, that fact in itself makes nonsense of any notion of equal opportunity.”

Bajet 2014 Barisan Nasional

Bajet 2014 memperuntukkan sejumlah RM 264.2 bilion. Daripada jumlah ini RM 217.7 bilion merupakan anggaran untuk belanja mengurus manakala RM46.5 bilion adalah bagi belanja pembangunan.

Bajet 2014 masih kekal sebagai bajet defisit. Kerajaan telah meneruskan amalan bajet defisit selama 16 tahun berturut-turut semenjak krisis kewangan Asia. Ini merupakan kesinambungan daripada amalan dan perlaksanaan dasar fiskal semenjak daripada merdeka lagi.

Dalam tempoh 56 tahun negara mencapai kemerdekaan, Malaysia mengalami ‘fiscal deficit’ selama 49 tahun dan hanya 7 tahun menikmati ‘budget surplus’. Malaysia menikmati ‘budget surplus’ selama 5 tahun berturut – turut mulai 1993 iaitu ketika YB Permatang Pauh menerajui Kementerian Kewangan.

Kerajaan pernah menjanjikan bahawa belanjawan negara akan kembali kepada belanjawan berimbang pada tahun 2005 ; sebaliknya hutang negara terus membengkak secara berganda di antara tahun 2007 dan 2012 kepada RM 421 bilion. Manakala pendapatan pada kadar 31% dari RM 140 bilion kepada RM 207 bilion. Hutang negara seperti yang dilaporkan oleh Maybank Berhad bagi tahun 2013 dijangka meningkat kepada RM 541.3 bilion dan akan terus meningkat kepada RM 578.4 bilion iaitu 54.7% daripada jumlah KDNK.

Disiplin fiskal yang lemah menyebabkan hutang negara terus membengkak. Pada tahun 1998, hutang negara adalah pada tahap 36% daripada KDNK ; meningkat kepada 53% daripada KDNK dalam tahun 2012 dan dijangka meningkat kepada 54.7% daripada KDNK dalam tahun 2014. Ini adalah rekod yang tertinggi di Asia Tenggara.

Ia juga menggamit perhatian rakyat Malaysia kepada persoalan debt – to – revenue ratio. Dalam tahun 2012, Fitch Rating Agency melaporkan bahawa kadar debt – to – revenue di Malaysia mencatatkan 246%, semakin hampir kepada negara Itali yang bergelut dengan masalah hutang pada kadar 261%.

Malaysia di bawah pengurusan UMNO hari ini sedang mengalami penyakit ‘fiscal fatigue’ atau lelah kewangan. Negara hari ini tidak mempunyai ‘fiscal space’ untuk berbelanja kerana hutang negara yang terlalu besar dan ianya juga tidak mempunyai ‘political will’ untuk memerangi rasuah dan menangani masalah ketirisan dan salahguna kuasa.

Ucapan Perbahasan Bajet 2014 Mohamed Azmin Ali,Timbalan Presiden Parti Keadilan Rakyat (KEADILAN), Ahli Parlimen Gombak, Ahli Dewan Negeri Bukit Antarabangsa

Tiada ulasan: