Anwar Ibrahim 
 Anwar Ibrahim. - Foto Sinar Harian oleh SAFWAN MANSOR

KUALA LUMPUR - [Dikemaskini] Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim hari ini mengakui pelaksanaan cukai barangan dan perkhidmatan (GST) adalah sistem yang efisien namun memerlukan syarat.

Menurutnya, kerajaan perlu memastikan tahap pendapatan rakyat meningkat dan memastikan infrastruktur percukaian baik.

"Sekarang saya setuju sistem itu efisien tetapi perlu ada prasyarat.

"...di mana syarat pertama mesti tahap pendapatan rakyat ditingkatkan terlebih dahulu, keduanya pastikan infrastruktur percukaian cukup baik.

"Dua perkara itu belum ada, ada dasar monopoli," katanya pada ucaptamanya sempena Taklimat GST dan Belanjawan 2014, di sini, hari ini.

Tambahnya Anwar, "secara prinsipnya GST itu efisien.

"Menteri Kewangan sebelum saya kata akan melaksanakan GST, bila saya ambil alih, saya setuju GST akan dilaksanakan dan perbendaharaan akan kaji.

"Tapi pada tahun 1998 kita tak laksanakannya. Ada sebabnya juga kerana pada tahun 1993 kita catat lebihan kecil (pendapatan negara)," ujarnya.

Semalam, Anwar yang juga Ahli Parlimen Permatang Pauh berkata, PR akan menentang GST habis-habisan selagi pendapatan dan cukai pendapatan tidak dibaiki sekaligus menganggapnya sebagai jenayah.