Sabtu, 28 September 2013

Pemuda PAS ikrar pertahan Dun Sg Limau

Harakahdaily,


KUALA LUMPUR: Dewan Pemuda PAS Pusat berikrar akan mempertahankan kerusi Dewan Undangan Negeri (Dun) Sungai Limau bagi menghargai jerit perih perjuangan mantan Menteri Besar, Allahyarham Tan Sri Ustaz Azizan Razak yang juga bekas Adun kawasan tersebut.

Pengarah Jabatan Pilihan Rayanya, Mohd Sany Hamzan (gambar) turut mengisytiharkan kebersediaan dan kesiapsiagaan Pemuda PAS di semua peringkat untuk mempastikan kemenangan calon PAS yang akan mewakili Pakatan Rakyat bagi kerusi Dun itu.

“ Sesungguhnya kemenangan yang akan dicapai di dalam pilihan raya kecil itu nantilah yang akan menjadi sumbangan kecil pemuda untuk menghargai segala jerit perih perjuangan Almarhum Tan Sri Ustaz Azizan selama ini,” ujarnya dalam satu kenyataan media.

Jabatan Pilihan Raya Pemuda PAS, jelas beliau mahu jentera Pemuda PAS di semua peringkat melakukan persediaan terakhir dari sudut dana, persiapan teknikal dan lain-lain perkara di peringkat masing-masing untuk bersedia turun membantu PAS  Kedah di dalam misi mempertahankan penguasaan PAS di Dun Sungai Limau.

Sementara itu, Mohd Sany turut merakamkan takziah kepada seluruh anggota keluarga Allahyarham Ustaz Azizan yang kembali ke rahmatullah, Khamis lalu.

“Kami merasa cukup terkesan dengan kehilangan seorang tokoh hebat pejuang PAS yang sentiasa istiqamah untuk memartabatkan perjuangan menegakkan daulah Islamiyah di negara ini. Semoga roh Almarhum Tan Sri Ustaz Azizan akan ditempatkan di kalangan para anbia, orang-orang soleh dan orang-orang yang hampir dengan Allah Taala,” ujarnya.

Beliau menambah,  Pemuda PAS menyifatkan Allahyarham  Ustaz Azizan sebagai seorang yang berkaliber, mempunyai gaya kepimpinan yang berkarismatik, berpandangan jauh untuk kebaikan jamaah dan rakyat.

Tiada ulasan: