Sabtu, 28 September 2013

Muktamar PAS ke-59 di Stadium Melawati, pemilihan mulai petang Jumaat

THE MALAYSIAN INSIDER


Muktamar PAS ke-59 akan diadakan di Stadium Melawati Shah Alam mulai 22 hingga 24 November depan  yang bakal menyaksikan pemilihan untuk jawatan tertingginya.

Pengarah Muktamar PAS ke-59, Datuk Takiyudin Hassan, berkata perasmian untuk muktamar dewan-dewan pula akan diadakan pada 20 November mulai jam 9 malam.

Katanya, Dewan Ulama akan bermuktamar di Dewan Banquet MBSA, Dewan Pemuda di Dewan Sivik MBPJ manakala Dewan Muslimat di Dewan Jubli Perak SUK Selangor.

 “Pemilihan pucuk pimpinan PAS akan diadakan pada Jumaat petang selepas muktamar penuh diadakan pada sebelah paginya manakala keputusannya dijangka akan diperoleh pada petang 23 November,” katanya dipetik daripada Harakahdaily.

Beliau berkata, hampir 1,300 perwakilan dari seluruh negara akan menyertai muktamar ini dan bakal memilih pucuk pimpinan PAS untuk dua tahun akan datang.

Katanya, perwakilan adalah dari PAS kawasan seluruh negara, perwakilan dewan-dewan dan Jawatankuasa PAS Pusat yang ada.

Muktamar kali ini dijangka panas dengan isu penyertaan PAS dalam Pakatan Rakyat ekoran resolusi Multaqa Ulama Se-Malaysia yang dianjurkan oleh Dewan Ulama PAS di Alor Setar sebelum ini.

Antaranya resolusi itu mahu supaya PAS mengkaji semula tahaluf siasi (kerjasama politik) dengan Pakatan Rakyat khasnya PKR ekoran berkurangnya sokongan pengundi Melayu kepada PAS dalam Pilihan Raya Umum ke-13 lalu.

Takiyudin, yang juga anggota Parlimen Kota Bharu berkata, muktamar dijangka membahaskan prestasi PAS dalam pilihan raya umum lalu

Tiada ulasan: