Sabtu, 28 September 2013

Mesyuarat Khas SPR Mengenai PRK Sungai Limau Dalam Tempoh 10 Hari

MSTAR ONLINE
 
 
PUTRAJAYA: Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) akan mengadakan mesyuarat khas bagi menentukan tarikh paling sesuai untuk hari penamaan calon dan pengundian bagi pilihan raya kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri Sungai Limau, dalam tempoh 10 hari selepas menerima notis kekosongan kerusi itu daripada Speaker Dewan Undangan Negeri Kedah.

Pengerusi SPR Tan Sri Abdul Aziz Mohd Yusof berkata perkara itu termaktub dalam undang-undang, yang menetapkan bahawa mesyuarat mengenainya tidak boleh diadakan lebih dari tempoh 10 hari selepas kekosongan itu dimaklumkan.

Katanya beliau menjangka notis itu mungkin akan diserahkan kepada SPR hari ini, esok atau hari Ahad memandangkan pejabat-pejabat kerajaan di Kedah dibuka pada hujung minggu.

"Beri kami tempoh seminggu, lebih kurang. Sebab undang-undang pun ada, tidak lebih daripada tempoh 10 hari kerusi itu dimaklumkan kosong, kita kena panggil mesyuarat, tak boleh 12 hari lepas itu," katanya

ketika ditemui selepas menerima kunjungan Speaker Parlimen Myanmar, Thura U Shwe Mann di pejabat SPR di sini Jumaat.

Adun Sungai Limau, Tan Sri Azizan Abdul Razak yang merupakan bekas Menteri Besar Kedah meninggal dunia di Hospital Sultanah Bahiyah, Alor Setar pada Khamis berikutan jangkitan kuman dan kegagalan organ dalaman yang pelbagai, selepas lebih empat bulan mengalami masalah kesihatan yang serius.

Abdul Aziz berkata SPR tidak menghadapi sebarang masalah untuk menerima notis berkenaan pada hari minggu kerana pejabat cawangannya di Kedah tetap dibuka pada hari berkenaan.

"SPR kita di sana (Kedah) hari Ahad tetap kerja. Insya-Allah, tak perlulah terburu-buru sangat," katanya.

"... itupun jika semua dokumen rasmi seperti sijil kematian, dokumen dari hospital dan pengesahan dari Jabatan Pendaftaran Negara dan sebagainya, semua sudah lengkap, SPR sudah bersedia...," katanya.

Abdul Aziz berkata beliau difahamkan tidak ada pengundi awal pada PRK Sungai Limau nanti kerana menurut rekod tidak ada anggota polis atau tentera yang menjadi pengundi di kawasan itu, manakala kemudahan undi pos buat pengundi kawasan itu yang berada di luar negara pula, difahamkan hanya dua orang.

Bagaimanapun menurutnya jumlah pengundi pos mungkin boleh bertambah sekiranya ada petugas media atau petugas SPR yang menjadi pengundi kawasan itu yang membuat permohonan untuk kemudahan itu nanti, bergantung kepada kelulusan, yang tertakluk kepada syarat-syarat yang ditetapkan.

Beliau seterusnya menganggarkan bilangan pengundi kawasan itu sekitar lebih 26,000 atau 27,000, namun menurutnya perincian jumlah sebenar akan diumumkan bila tiba masanya nanti.

Berhubung penggunaan dakwat kekal pula Abdul Aziz berkata PRK Sungai Limau nanti akan masih menggunakan dakwat kekal kerana penggunaannya tertakluk kepada undang-undang sedia ada.

Sementara itu merujuk kepada kunjungan rombongan dari Myanmar pula, Abdul Aziz berkata ia merupakan satu penghormatan kepada SPR Malaysia.

"Mereka nampak gembira dan berpuas hati dengan sambutan, penerangan dan layanan yang diberikan," katanya. - BERNAMA

Tiada ulasan: