Jumaat, 27 September 2013

Lagi gangguan elektrik seluruh Sabah, DAP tawar diri bantu selesai masalah

jimmy wong


KUALA LUMPUR: Ahli Parlimen DAP Kota Kinabalu, Jimmy Wong Sze Phin dan Ahli Parlimen DAP Sandakan, Stephen Wong Tien Fatt hari ini mendesak kerajaan segera menangani masalah gangguan bekalan elektrik yang sering berlaku di negeri itu.

Terkini, bekalan elektrik Sabah terpaksa dicatu sejak kelmarin memandangkan tiga penjana kuasa swasta (Independent Power Producer, IPP) iaitu di Teluk Salut, Rugading dan ARL Power Malawa, di sekitar Sepanggar, Kota Kinabalu mengalami kerosakkan.

“Kuasa janaan elektrik dijangka berkurangan sebanyak 200 Megawatt (MW) berikutan kejadian kerosakan dan ia bukan sahaja menyusahkan kehidupan rakyat malah menambah beban kepada semua pihak,” ujar Ahli parlimen DAP Kota Kinabalu, Jimmy Wong.

Menurutnya, usaha Kerajaan Persekutuan khususnya Kementerian Tenaga, Teknologi Hijau dan Air yang diketuai Datuk Seri Dr. Maximus Ongkili tidak cukup untuk menyelesaikan masalah gangguan elekrik yang berpanjangan ini.

“Dengan gangguan seperti ini, bagaimana Sabah boleh menjana ekonomi dengan baik. Sudah tiba masanya kerajaan bertindak segera,” kata Jimmy Wong lagi.

Menurut Ahli Parlimen DAP Sandakan, Stephen Wong Tien Fatt, masalah bekalan elektrik di Sabah sudah menjadi perkara biasa yang tidak pernah selesai sejak Barisan nasional (BN) memerintah.

“Masalah gangguan elektrik ini selalu berlaku sebab IPP tidak ada enjin atau jentera janaan elektrik simpanan.

“Mereka gunakan kesemua enjin secara maksimum dan bila berlaku kerosakkan seperti ini, memang akan sebabkan masalah yang serius,” kata beliau.

Justeru, untuk menyelesaikan masalah ini, mereka mengemukakan tiga usul yang akan diutarakan di Parlimen:

Ahli-ahli Pasukan Kerja (Task Force) Perancangan Dan Pemantauan Perlaksanaan Projek-Projek Pembekalan Elektrik Sabah (PPPES) haruslah diperluaskan kepada ahli-ahli parlimen pembangkang supaya pandangan-pandangan alternatif boleh dibawa untuk dibincangkan bersama.

Menggesa peruntukan berlipat-ganda untuk pembangunan loji-loji penjana tenaga di Sabah pada Belanjawan 2014 yang bakal dibentangkan pada sesi Parlimen bulan Oktober ini.

Kilang Penjana Kuasa Gas Asli Cecair (Liquidfied Natural Gas, LNG) 300MW di Pantai Timur, Sabah haruslah diteruskan dan bukannya dengan membawa balik cadangan Kilang Penjana Kuasa Arang Batu yang telah ditolak sekeras-kerasnya oleh rakyat Sabah sebelum ini.-Roketkini.com

Tiada ulasan: