Isnin, 30 September 2013

DAP wadah pelbagai kaum; UMNO takut – Lim Guan Eng

1265615_735362266480714_210248391_o


PETALING JAYA: “Kejayaan besar DAP dalam pilihan raya lalu telah menjadikan DAP sebuah ancaman besar kepada Barisan Nasional (BN) dan sebab itu mereka menggunakan Pendaftar Pertubuhan (ROS) untuk menghabiskan DAP apabila mereka mengeksploitasi kejujuran parti.”

Demikian kata Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng dalam ucapannya yang mengingatkan para perwakilan supaya terus mempertahankan DAP dari sebarang serangan jahat, zalim dan tidak adil dari mana-mana pihak yang mahu menghapuskan parti.

“BN sudah terdesak bila menyedari bahawa DAP tidak boleh dikalahkan dengan sokongan rakyat. Kita sedang berada di dalam krisis kerana kita menjadi mangsa kejayaan sendiri. Dalam sejarah 47 tahun parti DAP, tidak pernah parti mencapai kejayaan yang begitu besar seperti yang berlaku dalam PRU ke 13.

“Selagi rakyat memilih kita, selagi rakyat menyokong perjuangan kita, kita tidak akan mati selama-lamanya,” ujar beliau.

Tambah menggusarkan BN terutamanya UMNO apabila DAP mempunyai semakin ramai Ahli-ahli Parlimen dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) di seluruh negara dengan 38 kerusi Parlimen dan 107 kerusi DUN.

“Kita adalah rakan kongsi kuasa dengan kerajaan negeri di Pulau Pinang dan Selangor. Kita mempunyai wakil rakyat dari setiap lapisan kaum dan agama.

“Izinkan saya menyebut nama pendekar-pendekar Melayu DAP seperti Ahli Parlimen Bukit Bendera Sdr Zairil Khir Johari, Ahli Parlimen Raub Dato’ Mohd Ariff Sabri bin Hj Abdul Aziz, ADUN Mentakab Tengku Zulpuri Shah bin Raja Puji; serta ADUN Kadazan pertama kita dari Kepayan, Sdr Dr Edwin Bosi,” ujarnya.

Ia termasuklah barisan wakil rakyat yang muda dan menjanjikan sesuatu yang lebih hebat kata Guan Eng.
“Mereka ialah seperti ADUN Johor Jaya Liao Cai Tung dan kita juga mencatat rekod seramai 25 orang wakil rakyat wanita, termasuk wanita India pertama menjadi Ahli Parlimen Batu Kawan, Kasthuri Patto dan dua orang ahli dewan undangan negeri wanita, iaitu ADUN Sabai, Kamache Doray Rajoo dan ADUN Rahang, Mary Josephine Prittam Singh,” ujar beliau.

Guan Eng sekali lagi menegaskan bahawa DAP tidak akan terperangkap dengan mainan perkauman UMNO-BN dengan kepelbagaian yang ada dalam DAP.

“Kita tidak mahu jadi MCA, kita tak mahu jadi MIC walaupun kita mempunyai lebih ramai wakil rakyat India dalam DAP, kita juga tak mahu jadi UMNO, apa yang kita mahu ialah menjadi parti untuk seluruh rakyat Malaysia.

“Kita bukan mahu laungkan hidup Melayu atau hidup Cina tetapi kita mahu laungkan hidup Malaysian Malaysia,” katanya bersemangat. – Roketkini.com

Tiada ulasan: