Sabtu, 28 September 2013

DAP cabar Rahman Dahlan perjelas agenda balas dendam kepada masyarakat Cina

hiasan-sufi_MG_7500 (425)


KUALA LUMPUR: DAP hari ini mengutuk tindakan Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Datuk Abdul Rahman Dahlan yang cuba menafikan wujudnya agenda kerajaan membalas dendam terhadap masyarakat Cina kerana tidak menyokong mereka pada Pilihan Raya Umum (PRU) lalu.

Ahli Parlimen DAP Kulai, Teo Nie Ching mencabar Abdul Rahman supaya menegur Menteri Besar Kedah, Datuk Mukhriz Tun Mahathir yang dilihat secara terbuka mengenepikan masyarakat Cina kebelakangan ini.

Beliau berkata, Abdul Rahman perlu membuktikan perkara ini, jika benar nilai politik UMNO bukan berasaskan dendam kesumat sehingga sanggup mengabaikan tanggungjawab kepada rakyat.

teonieching_hitea

“Walaupun beliau menafikan rancangan kerajaan untuk memindahkan tanggungjawab pembangunan Kampung Baru kepada majlis kerajaan tempatan hanya menambah masalah birokrasi, tetapi hakikatnya, rancangan beliau juga tidak disokong MCA.

“Sekiranya rakan seperjuangan sendiri (MCA) tidak mempercayai rancangan itu berniat suci, bagaimana beliau ingin seluruh masyarakat Cina percaya bahawa ini bukanlah satu hukuman atau balas dendam?

“Jadi saya mencabar beliau supaya menegur Mukhriz jika benar balas dendam bukan amalan politik UMNO, adakah beliau berani?,” soalnya dalam kenyataan.

Abdul Rahman semalam menafikan dan membidas kenyataan Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng yang menyatakan dengan jelas agenda kerajaan cuba untuk menghukum masyarakat Cina di Kampung Baru kerana tidak memilih BN.

Nie Ching yang juga Penolong Setiausaha Publisiti Kebangsaan DAP turut menggesa Abdul Rahman memberikan penjelasan mengapa Mukhriz kebelakangan ini menyatakan tidak akan melayan sebarang permintaan daripada Sekolah Cina.

“Abdul Rahman harus memberikan penjelasan berhubung tindakan Mukhriz kebelakangan ini yang mahu menumpukan bantuan kepada Sekolah Kebangsaan saja dan tidak akan melayan sebarang permintaan Sekolah Cina berikutan perubahan undi Cina semasa PRU lalu yang membelakangkan MCA dan BN.

“Adakah tindakan seperti itu masih bukan satu hukuman terhadap masyarakat Cina?,” tegasnya.

Jangan alih fokus

Ahli Parlimen DAP Rasah, Teo Kok Seong pula menyifatkan tindakan Abdul Rahman mengutuk Guan Eng merupakan usaha mengalihkan fokus masyarakat terhadap kebimbangan mengenai rancangan kerajaan untuk memindahkan tanggungjawab pembangunan Kampung Baru.

TEO KOK SEONG-IMG_7319

“Guan Eng cuma memberi pandangan terhadap rancangan tersebut demi kepentingan rakyat tetapi bukan dengan kepentingan politik seperti yang didakwa Abdul Rahman,” katanya dalam kenyataan berasingan.

Ketua Pemuda DAPSY itu turut menyarankan Abdul Rahman menerima pandangan dan cadangan secara terbuka serta mengkaji semula rancangan kerajaan untuk memindahkan tanggungjawab pembangunan kampung baru.

“MCA sendiri membantah rancangan ini, ia tentulah bermaksud rancangan tersebut memang perlu dikaji semula. Apakah Abdul Rahman sudah lupa?

“Malaysia merupakan negara demokrasi, rakyat berhak mengundi serta mengundi parti yang mereka sokong. Kerajaan yang benar-benar mengutamakan rakyat sepatutnya menghormati pilihan mereka.

“Jika sokongan tidak memuaskan, kerajaan haruslah mengambil inisiatif meneliti rintihan atau pandangan rakyat agar dapat menyelesaikan masalah bukannya menyusahkan mereka yang dilihat tidak menyokong kerajaan,” ujarnya. – Roketkini.com

Tiada ulasan: