Sabtu, 31 Ogos 2013

Sanjeevan tidak ingat cubaan bunuh, MyWatch tuduh polis bertanggungjawab

OLEH MUZLIZA MUSTAFA
















 Pemantau jenayah MyWatch menunding jari ke atas pasukan polis terhadap cubaan membunuh ketuanya R. Sri Sanjeevan, selepas sebulan kes tembakan berlalu.

Penasihat MyWatch S. Gobikrishnan semalam mendedahkan Sanjeevan telah menerima satu panggilan telefon ugutan daripada salah sebuah balai polis di Negeri Sembilan sebelum ditembak.

Pemanggil memberi amaran Sanjeevan akan ditembak kerana telah menghubungi Bukit Aman bagi mengadu terhadap aktiviti perjudian yang berleluasa di negeri tersebut.

Gobikrishnan berkata Sanjeevan telah pergi ke balai polis Jelebu untuk mengadu terhadap aktiviti perjudian tetapi mereka tidak mengendahkannya.


"Dia serta-merta menghubungi Bukit Aman dan 15 minit kemudiaan beliau menerima satu panggilan ugutan," kata beliau dalam satu forum “Jenayah semakin parah: Persepsi atau Realiti" di Dewan Perhimpunan Cina Kuala Lumpur dan Selangor di ibu kota semalam.

Gobikrisnan menambah semakan mendapati rekod panggilan tersebut dibuat daripada balai polis Jelebu, malah laporan juga telah dibuat dengan polis Negeri Sembilan tetapi kes tersebut diklasifikasikan sebagai tiada tindakan susulan.

"Alasan diberi adalah mereka tidak dapat mencari individu yang membuat panggilan tersebut," kata Gobikrishnan.

Maklumat tersebut juga disampaikan kepada pengarah siasatan jenayah (CID) pusat Datuk Hadi Ho Abdullah dalam satu mesyuarat di Bukit Aman minggu lepas yang turut dihadiri oleh bapa Sanjeevan, P. Ramakrishnan.

"Kami telah membuat permintaan kepadanya untuk membuka kes tersebut bagi siasatan lanjut," kata Gobikrishnan lagi.

Bulan lepas, beberapa hari selepas tembakan Sanjeevan di Bahau, Gobikrishnan telah dipanggil polis untuk soal-siasat.

Beliau mendakwa pihak polis sebaliknya tidak bertanyakan tentang soalan berkaitan tembakan Sanjeevan, mereka lebih berminat untuk mengetahui tentang komen yang ditulisnya di laman Twitter.

Komennya bertulis, "kongsi gelap lakukannya, dibawah arahan pihak berkuasa", merujuk kepada tembakan ke atas Sanjeevan pada 27 Julai.

Sanjeevan telah ditembak oleh dua suspek yang menunggang motosikal ketika mangsa berhenti di persimpangan lampu isyarat di Bahau.

Minggu lepas, Sanjeevan berjaya menjalani pembedahan bagi membuang peluru pada bahunya dan tulang rusuknya.

Media melaporkan semalam Sanjeevan kelihatan hilang ingatan selepas kembali sedar.

The Star melaporkan bapa Sanjeevan berkata anaknya tidak ingat terhadap cubaan membunuh ke atasnya mahupun mengenali sesiapa.

Doktor berkata Sanjeevan mengalami amnesia berkemungkinan kerana koma selama 10 hari.

Spekulasi kuat mengatakan anggota polis terlibat secara langsung dalam tembakan tersebut. Malah terdapat dakwaan mengatakan kerana Sanjeevan telah melampaui batas.

Tiada ulasan: