Khamis, 29 Ogos 2013

Rumah pam rosak: Syabas gagal, Selangor biaya kos baik pulih

KEADILAN DAILY

SHAH ALAM : Kerajaan Selangor kesal dengan kejadian gangguan bekalan air yang berulang kali kerana kegagalan operasi Rumah Pam Wangsa Maju.

Selepas kejadian henti tugas Rumah Pam Wangsa Maju pada Julai 2012, lebih 10 kali berlaku kejadian gangguan bekalan air kerana kegagalan rumah pam itu beroperasi.
MB
Kejadian terbaru berlaku semalam yang menyebabkan gangguan bekalan air di beberapa kawasan di Cheras dan Bandar Tun Razak.

Walaupun beberapa remedi telah dipersetujui untuk dilaksanakan oleh Syarikat Bekalan Air Selangor (Syabas), namun sehingga hari ini operasi Rumah Pam Wangsa Maju sering kali gagal dan menyebabkan gangguan bekalan air.

Menteri Besar Selangor, Tan Sri Khalid Ibrahim berkata, bagi menyelesaikan masalah Rumah Pam Wangsa Maju, kerajaan negeri telah memanggil pembuat pam untuk membaiki kerosakan dan segala kos akan ditanggung kerajaan negeri.

Menurutnya, kegagalan berulang ini salah satu bukti kukuh Syabas tidak kompeten untuk menyelesaikan masalah berkaitan.

Ekoran itu, beliau menyeru Kerajaan Persekutuan mempercepatkan proses rundingan pengambilalihan bagi membolehkan Kerajaan Selangor mengambil alih pengurusan dan operasi Syabas termasuk operasi Rumah Pam Wangsa Maju.

“Ini bagi memastikan hak pengguna lebih terjamin untuk mendapatkan bekalan air terawat yang lebih cekap, tanpa gangguan kerana kelemahan pengurusan dan pada kadar tarif yang munasabah,” kata Khalid dalam kenyataan.

Tiada ulasan: