Khamis, 29 Ogos 2013

PAS ragu pemilihan kakitangan Kuisas

Muhammad Faeez Azahar,
 
IPOH: Datuk Seri Mohammad Nizar Jamaluddin mendakwa, terdapat pelbagai kepincangan yang berlaku dalam urus tadbir Kolej Universiti Islam Sultan Azlan Shah (Kuisas).

Menurut Timbalan Pesuruhjaya PAS Perak itu, pentadbiran kolej di bawah urus tadbir kerajaan negeri itu seolah-olah bersifat kroni.

Adun Changkat Jering itu berkata, beliau meragui akan pemilihan kakitangan dan pensyarah yang dilihat tidak mengikut pekeliling perkhidmatan awam.

Menurutnya, pelbagai pihak musykil tentang kenaikan pangkat empat orang pegawai tadbir gred N41 telah dinaikkan pangkat N44 secara mengejut dan tergesa-gesa dalam jangka masa pendek.

Proses kenaikan pangkat tersebut juga, katanya mempunyai kesalahan antaranya tiada ujian kelayakan ataupun penilaian kompitesi kenaikan pangkat dan dilakukan secara eksklusif, berkelompok dan menafikan hak pegawai-pegawai lain yang jauh lebih senior serta tiada polisi kenaikan pangkat.

"Kami melihat berlaku keadaan tidak telus dalam perkara ini, pengambilan juga tidak berdasarkan kepada merit dan kelayakan tetapi lebih berunsur kroni.

"Pengambilan itu juga tidak berdasarkan keperluan penjawatan dan permintaan suatu jabatan pengajian ataupun fakulti," katanya selaku Ketua Pembangkang ketika berucap dalam Persidangan Dewan Undangan Negeri (Dun) Perak, semalam.

Tambahnya, oleh kerana pengambilan secara rambang ini, terdapat kakitangan kolej yang tidak berkelayakan, tidak berkualiti dan tidak berakhlak sehingga berlaku kes-kes yang tidak diingini.

Tiada ulasan: