Sabtu, 31 Ogos 2013

Najib bukan penyelamat Umno


Oleh Lim Hong Siang 

KETIKA diminta Mobtv untuk mengulas 100 hari pertama pentadbiran Najib Razak selepas PRU13, saya menyimpulkan bahawa kepimpinan beliau tidak memperlihatkan tekad politik dan hala tuju yang jelas, dan meramalkan bahawa mungkin Najib akan mengulangi nasib Abdullah Ahmad Badawi. Mengulangi nasib Pak Lah tidak semestinya bermakna Najib akan digulingkan dalam Umno, tetapi dalam erti kata beliau tidak meninggalkan legasi yang terpahat dalam hati rakyat.

 Tidak kurang pengamal media yang merungut bahawa Najib jarang memanggil sidang media selepas 505.

Tiada "program transformasi" yang jelas, malah kita tidak tahu pendirian beliau dalam isu-isu tertentu. Misalnya isu Akta Hasutan, setelah beberapa kali Menteri Dalam Negeri, Zahid Hamidi mengasak dalam media untuk mengekalkan akta ini, barulah Najib membuat kenyataan untuk mengekalkan keputusan pemansuhan Akta Hasutan. Namun kenyataan ini tidak menjernihkan situasi, kerana Akta Hasutan terus digunakan untuk penangkapan aktivis dan pemimpin Pakatan Rakyat seperti Adam Adli, Tian Chua dan Tamrin Ghafar.

Zaman rakyat mudah ditipu sudah berlalu. Najib tidak boleh lagi mengulangi taktik Abdullah Badawi untuk meraih undi hanya dengan mengiklankan "imej". Poster dan billboard di sepanjang lebuh raya tidak menjanjikan sokongan. Akhirnya rakyat tidak menilai berdasarkan panjang telunjuk anda, atau kemanisan senyuman anda, tetapi "prestasi" anda. Pak Lah dibuang kerjanya kerana mandat yang diberikan pengundi tidak digunakan sebaiknya, tetapi disia-siakan begitu sahaja.

Dan pelbagai alasan diberikan untuk menghalalkan kelemahan dan kegagalan zaman pemerintahan sendiri.

Dalam satu wawancara bersama dua orang ahli akademik, Bridget Welsh dan James Chin, Pak Lah berkata dirinya tidak menjangka penentangan yang begitu ketara daripada dalaman terhadap perubahan yang ingin dibawanya. Pak Lah seolah-olah tidak sedar bahawa beliau menguasai lebih 90% kerusi dalam Dewan Rakyat selepas PRU11 pada tahun 2004. Dengan kuasa yang begitu besar, beliau berdalih bahawa tentangan yang hebat daripada sistem dalaman itu menghalang reformasinya. Tetapi jikalau tentangan datang dari rakyat ketika harga minyak dan tol dinaikkan, trak meriam air kimianya terus mara ke depan tanpa berhenti.

Ketika menjadi orang kedua kepada Mahathir Mohamad, barangkali kita boleh bersimpati bahawa Pak Lah terpaksa akur kepada Mahathir untuk membuat sesuatu yang tidak diingininya. Misalnya ketika Pak Lah menyandang jawatan Menteri Dalam Negeri semasa pemerintahan Mahathir, beliau meluluskan penangkapan menggunakan ISA terhadap reformis. Namun apabila beliau menjadi orang paling berkuasa, masih diberikan pelbagai dalih apabila usaha penambahbaikan dalam sistem tidak kesampaian.

Semestinya saya sedar akan keterbatasan yang dihadapi, dan saya tidak naif untuk mengharapkan perubahan dalam sekelip mata. Maksud saya, Pak Lah sanggup melakukan segala yang mampu untuk menentang suara rakyatnya, termasuk menyuraikan demonstrasi dengan kekerasan; tetapi apabila berdepan dengan penentangan dalam sistem, beliau dengan mudah mengalah dan menambat langkah reformasi.

Maka saya tidak sedikitpun hairan atau simpati apabila Pak Lah digulingkan. Bukan sahaja kelemahan dari segi kepimpinan, tetapi juga keterbatasan dalam dirinya untuk melihat sesuatu yang lebih jauh. Barangkali untuk perhitungan Pak Lah, beliau hanya mementingkan bagaimana dirinya boleh mengekalkan kuasa, dan memastikan sistem yang bobrok ini terus berjalan - atau lebih tepat, tidak mati di tangannya. Pak Lah tidak berani untuk mengambil risiko bersama rakyat, meskipun mandatnya datang daripada rakyat untuk melawan kebobrokan sistem.

Saya menganggap ini yang membezakan Pak Lah dengan Anwar Ibrahim. Pak Lah boleh memahat namanya dalam sejarah sebagai Perdana Menteri Malaysia kelima, tetapi tidak meninggalkan legasi yang penting.

Barangkali era Pak Lah membuka ruang kebebasan untuk "tsunami politik" pada 8 Mac 2008, tetapi beliau sebenarnya boleh melakukan lebih daripada itu. Anwar Ibrahim, mungkin terlepas sebagai PM terbaik yang dimiliki rakyat Malaysia, tetapi pengaruh dan sumbangan beliau, jauh lebih penting berbanding Pak Lah dalam sejarah.

Berbalik kepada Najib, beliau akan mengulangi nasib Pak Lah seandainya terus mengulangi kenyataan perubahan mengambil masa yang panjang. Jikalau Najib sekadar mahu memastikan Umno tidak tumbang dalam tangannya, maka saya memberi jaminan di sini bahawa Najib tidak akan meninggalkan legasi yang memahat hati rakyatnya. Dengan senario pada hari ini, ditambah pula sistem pilihan raya yang direka sebegini, sekali Umno tumbang, ia berkemungkinan besar terus hancur berkecai dan tidak bangkit lagi.

Jikalau Najib hanya nampak "kekangan" dalam rejim lama, maka jasanya tidak akan berkembang ke mana-mana. Langkah menyelamatkan Umno bukan dengan memastikan ia berkuasa selama-lamanya, tetapi membiarkannya kalah dan bangkit semula pada masa depan. Jadi, seandainya Najib berpandangan jauh, beliau seharusnya berani untuk mengiktiraf bahawa Pakatan Rakyat memiliki sokongan majoriti 51%, dan bersedia untuk bekerjasama dengan Pakatan untuk pembinaan sistem pilihan raya yang adil. Hanya dengan sistem pilihan raya yang adil, parti yang tumpas akan sentiasa memiliki peluang untuk bangkit semula.

Mustahil Umno berkuasa selama-lamanya, tetapi boleh jadi tak akan Umno hilang di dunia ini.

Pendek kata, Najib perlu menumbangkan Umno sekarang supaya Umno bangkit semula pada masa depan setelah insaf dan bertaubat. Jikalau Najib tidak berani untuk berbuat demikian, beliau sekadar penyambung talian hayat sementara Umno, tetapi bukan penyelamat Umno.

Tiada ulasan: