Jumaat, 30 Ogos 2013

MCA 'kecewa' tiada tindakan terhadap HM Pristana

MALAYSIA KINI


Ketua Pemuda MCA, Datuk Seri Wee Ka Siong "teramat kecewa" terhadap kurangnya tindakan yang diambil oleh Kementerian Pelajaran atau Jabatan Pendidikan Selangor terhadap guru besar SK Seri Pristana di tengah-tengah dakwaan pelajar dibuli.

NONEMerujuk kepada 'penghijrahan' pelajar dari sekolah tersebut, dengan
10 ibubapa memindahkan anak-anak mereka, bekas timbalan menteri pelajaran itu berkata, kecuali tindakan diambil, ia boleh "disalahtafsir sebagai satu 'pembersihan etnik' di situ".

Dalam satu kenyataan, Wee mahu disiasat tuduhan mengenai perbuatan membuli, pemulauan dan penghinaan kaum oleh pihak guru dan rakan kelas terhadap anak pemberi maklumat, serta terhadap pelajar yang ibubapa mereka membuat laporan terhadap guru besar.

Beliau mengulas laporan The Malaysian Insider bahawa Jabatan Pelajaran Selangor telah memutuskan untuk tidak mengambil sebarang tindakan terhadap guru besar, Mohd Nasir Mohd Nor.

Menurut Wee lagi, kementerian juga perlu menyiasat dakwaan bahawa pihak sekolah membenarkan "orang luar" mengambil gambar kaum tertentu, kerana kehadiran orang yang tidak dikenali di sekolah, memberi kesan keselamatan.

"Apakah jenis jaminan yang boleh diberi oleh pihak sekolah bagi memastikan gambar-gambar tersebut tidak disalahgunakan?" soalnya.

Wee juga menggesa kementerian itu supaya menyiasat dakwaan bahawa pihak sekolah membenarkan polis menyoal murid tanpa pengetahuan, persetujuan dan kehadiran ibubapa.

Beliau berkata walaupun ia bukan soal siasat rasmi, tetapi kehadiran anggota polis berpakaian seragam bertanyakan soalan "boleh menakutkan kanak-kanak" tersebut.

Tegasnya, kanak-kanak ada hak dan tidak sepatutnya disoal "seolah-olah mereka adalah penjenayah".

Tiada ulasan: