Khamis, 29 Ogos 2013

KJ: Tempoh 1 bulan tubuh jawatankuasa integriti

KJ Menteri Belia dan Sukan, Khairy Jamaluddin (dua kanan) pada sidang media ketika menghadiri Majlis Rumah Terbuka Aidilfitri kementerian belia di Stadium Juara, di sini, hari ini. - Foto Sinar Online oleh Nizam Zain

 
KUALA LUMPUR - [DIKEMASKINI] Menteri Belia dan Sukan, Khairy Jamaluddin hari ini memberi tempoh sebulan kepada semua persatuan bola sepak negeri untuk menubuhkan jawatankuasa integriti dalam usaha membanteras gejala rasuah dalam industri bola sepak negara.

Beliau menegaskan jawantankuasa itu yang terdiri daripada Polis DiRaja Malaysia (PDRM), Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) itu perlu diwujudkan segara dalam membantu membanteras percaturan perlawanan dan membeli pemain bola sepak yang didalangi oleh bookie yang membabitkan sindiket perjudian.

"Saya bagi mereka dalam tempoh sebulan untuk menubuhkan jawatankuasa integriti di peringkat persatuan bola sepak negeri.

"Kalau tidak saya ada hak mengambil tindakan melalui pejabat pesuruhjaya sukan," katanya pada sidang media di Majlis Rumah Terbuka Aidilfitri Kementerian Belia dan Sukan di Stadium Juara, di sini, hari ini.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas kenyataan Presiden Persatuan Bola Sepak Negeri Sembilan (PBNS), Datuk Seri Mohamad Hasan semalam yang mengatakan gejala rasuah semakin menular dalam industri bola sepak negara menyebabkan mutu permainan semakin merundum khususnya Liga Perdana Malaysia.

Tambah beliau, arahan itu telah dikeluarkan pada tiga bulan lalu ketika menghadiri mesyuarat FAM namun beliau kesal apabila masih banyak persatuan bola sepak negeri yang enggan berbuat demikian.

Katanya cadangan itu dibuat susulan kementeriannya menerima banyak aduan daripada pemain tentang gejala rasuah terbabit namun mereka enggan memberikan maklumat jika keselamatan diri dan keluarga terancam.

"Dengan adanya jawatankuasa teknikal di peringkat negeri, ia boleh membantu kita membanteras gejala mengatur perlawanan, kerana kalau tiada jawatankuasa ini, kita tidak boleh mencegah.

"Kita tidak akan mendedahan pemain-pemain yang didatangi oleh bookie dan akan meletakkan mereka dibawah program perlindungan saksi.

"Masalah kita adalah pemain kita tidak mahu kemukakan diri sebagai saksi, mereka tidak tahu ke mana mereka hendak pergi, mereka takut tidak ada perlindungan," jelasnya.

Dalam pada itu, beliau berharap pihak polis dapat meningkatkan operasi penguatkuasaan terhadap bookie yang menjadi dalang di sebalik percaturan permainan dan pembelian pemain.

"Bookie ini sebahagian daripada aktiviti perjudian, di belakang sindiket bookie ini yang beli pemain-pemain dan menjual permainan adalah sindiket perjudian.

"Kalau tidak ada sindiket perjudian, sindiket bookie tidak akan wujud dan sebaliknya," katanya.

Tiada ulasan: