Khamis, 29 Ogos 2013

Kes bunuh, tembak alasan Umno BN untuk guna semula Ordinan Darurat

Oleh Mohd Arif Juhani

KUALA LUMPUR: Kementerian Dalam Negeri (KDN) dan Polis Diraja Malaysia (PRDM) tidak perlu terdesak mencipta persepsi kononnya peningkatan jenayah senjata api kebelakangan ini berpunca daripada pemansuhan Ordinan Darurat (EO).

Naib Presiden KEADILAN, N Surendran berkata, persepsi yang cuba dihidupkan itu didorongi politik dendam bagi memastikan pemimpin Pakatan Rakyat dan NGO tidak boleh ‘menyentuh’ kerajaan Umno BN.

N.Surendran1

“Saya syak ada udang di sebalik batu dalam kenyataan dan statistik tersebut. Pertama untuk memastikan tahanan tanpa bicara dapat dikuatkuasa.

“Kedua usaha pemimpin Umno BN dengan kerjasama polis untuk mengenakan tindakan terhadap pemimpin Pakatan ekoran pendedahan kebobrokan yang dilakukan pemimpin Umno BN,” katanya kepada Keadilan Daily.

Kes tembak-bunuh kerap berlaku kebelakangan ini, sama ada melibatkan individu profil tinggi mahupun orang awam hingga menyebabkan segenap lapisan rakyat bimbang akan keselamatan mereka.

Antara kes yang mendapat perhatian, cubaan bunuh Pengerusi MyWatch, R Sri Sanjeevan, diikuti pembunuhan pengasas Arab-Malaysian Bank, Hussain Ahmad Najadi 75, pada 29 Julai lalu.

Terbaru, berlaku awal pagi tadi apabila tiga lelaki menembak seorang ahli perniagaan dan melarikan keretanya ketika mangsa mahu mendaftar masuk di sebuah hotel di Jalan Air Putih di Kuantan.

Dalam keributan situasi itu, Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Zahid Hamidi membangkitkan cadangan untuk menggubal undang-undang baru dan antara alasannya untuk mencegah kes bunuh menggunakan senjata api.

Zahid dilapor berkata, kira-kira 90 peratus jenayah seumpama itu dilakukan bekas tahanan EO yang sebelum ini dimansuh bagi meraih sokongan rakyat menjelang Pilihan Raya Umum ke-13.

Surendran yang juga Ahli Parlimen Padang Serai berkata, polis sepatutnya mencontohi negara maju seperti Amerika dan England kerana mampu membasmi jenayah walaupun tanpa undang-undang darurat.

Beliau turut membidas statistik polis kononnya lebih 1,000 fail siasatan polis menunjukkan penjenayah adalah bekas tahanan EO.

“Statistik itu langsung tidak boleh dipercayai dan diterima kerana Peguam Negara, Tan Sri Abdul Gani Patail juga pernah

menolak data tersebut malah mendakwa polis ‘ketagih’ dengan akta berkenaan.

“Justeru, saya mendesak Menteri Dalam Negeri berhenti menipu rakyat dan berusaha untuk membasmi jenayah bersungguh-sungguh,” kata Surendran

Tiada ulasan: