Isnin, 29 Julai 2013

Tiada yang berani, Umno kekalkan status quo - Kadir

Anis Nazri,


KUALA LUMPUR: Pemilihan Umno kali ini dijangka masih mengekalkan status qou bagi jawatan Presiden dan Timbalan Presiden parti itu, biarpun pemilihan kali ini diuar-uarkan sebagai demokratik dan terbuka, tegas bekas Ketua Editor NST, Datuk A. Kadir Jasin melalui blognya.

Menurut A. Kadir, disebabkan tiada watak-watak seperti Harun Idris, Sulaiman Palestin dan Hang Tuah Arshad yang pernah menawarkan diri bertanding menentang jawatan itu, pemilihan kali ini dilihat akan berlaku pengekalan status qou terhadap dua jawatan tertinggi parti itu.

"Oleh sebab tidak ada lagi watak-watak seperti Sulaiman Palestin, Harun Idris dan Hang Tuah Arshad dalam Umno, maka kita bolehlah membuat andaian yang menjelang 7 September ini, Mohd Najib Abdul Razak akan 'disahkan' sekali lagi sebagai Presiden Umno dan Tan Sri Muhyiddin Yassin sebagai Timbalan Presiden," kata beliau.
Mulai tahun ini, pemilihan Umno akan berjalan secara langsung melalui mesyuarat agung peringkat bahagian di seluruh negara. Lebih 150,000 perwakilan mesyuarat setiap bahagian layak mengundi untuk semua jawatan kepimpinan utamanya.

Pelbagai pihak dalam Umno mencadangkan agar jawatan tertinggi parti itu dikekalkan namun sehingga kini Muhyiddin masih belum memberikan kata putusnya.

Tinjauan yang dibuat oleh Pusat Kajian Politik dan Pilihan Raya Universiti Malaya (Umcedel) pula mendapati Muhyidin lebih popular dari Najib dalam Umno.

Isteri beliau pula, Puan Sri Norainee Abdul Rahman  jauh lebih popular dari isteri Najib, Datin Sri Rosmah mansor.

Bagi Kadir, dalam tulisannya menyebut ketiga-tiga bekas tokoh Umno, Sulaiman Palesin, Harun Idris dan Hang Tuah Arshad sebagai pejuang dan idealis yang berani menawarkan diri untuk bertanding dan turut mempersoalkan adakah sesiapa dalam Umno seperti ketiga-tiga ini menjelang tarikh tersebut.

Menurut Kadir lagi, Sulaiman Palestin membuat kejutan besar dengan bertanding melawan Pemangku Presiden Umno, Tun Hussein Onn dalam pemilihan tahun 1978 dan berjaya mendapat 250 undi berbanding 898 yang dimenangi Hussien walaupun dianggap calon 'outsider'.

Dua tahun kemudian, pada 1980, giliran Datuk Harun membuat kejutan apabila bertanding dari Penjara Pudu bagi menentang anak saudaranya, Ketua Pemuda Umno ketika itu, Suhaimi Kamaruddin. Turut bertanding adalah ahli perniagaan Hang Tuah yang lulus dari Universiti Nanyang, Singapura.

Persoalannya, adakah bagi pemilihan Umno kali ini, akan ada 'pewaris' ketiga-tiga pejuang ini, sementelah mereka boleh mendaftarkan nama mereka di ibu pejabat Umno negeri masing-masing.

Ia berbeza dengan konsep pemilihan sebelum ini yang mana mereka dicalonkan oleh cawangan dan seterusnya peringkat kawasan, sebelum disahkan layak bertanding dan boleh meneruskan hasrat bertanding atau menolaknya.

Mungkinkah pada pemilihan kali ini juga akan menyaksikan kedua-dua jawatan penting, presiden dan timbalannya akan dicabar oleh mana-mana pihak, selain jawatan naib presiden yang bakal mempunyai banyak persaingan?

Bagi jawatan Naib Presiden, sudah tentu Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal  dan Datuk Seri Hishamuddin Hussien akan mempertahankan jawatan tersebut.

Manakala, bekas Ketua Pergerakan Puteri Umno, Datuk Azalina Othman sudah awal-awal lagi menyatakan hasratnya untuk mencabar Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil bagi jawatan Ketua Pergerakan Wanita Umno pada pemilihan kali ini.

Apapun, pemilihan Umno kali ini lebih dinanti-nanti untuk memperlihatkan bagaimana konsep pemilihan yang dikatakan demokratik dan terbuka itu benar-benar demokratik dan terbuka.

Tiada ulasan: