Selasa, 30 Julai 2013

SPRM tahan tiga bekas pegawai tinggi GLC kerana salah guna kuasa

THE MALAYSIAN INSIDER

Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) hari ini menahan tiga bekas pegawai tertinggi subsidiari syarikat berkaitan kerajaan (GLC) bagi membantu siasatan berkenaan salah guna kuasa, yang dipercayai membawa kepada kerugian berjuta-juta ringgit projek industri makanan.

Dua daripada mereka yang berusia dalam lingkungan 50-an ditahan di ibu negara petang ini manakala yang ketiga, juga berusia 50-an, di Johor Bharu malam ini.

Pengarah Siasatan SPRM, Datuk Mustafar Ali mengesahkan penahanan ketiga-tiga mereka, yang pernah memegang jawatan pengarah dan Ketua Pegawai Operasi (COO) serta Ketua Pegawai Eksekutif.

 "Penahanan mereka, kesemua lelaki, adalah bagi membantu dalam siasatan kes projek subsidiari.

"Mereka dilepaskan dengan diikat jamin selepas diambil keterangan," kata beliau dalam satu kenyataan petang ini.

Ketiga-tiga mereka diikat jamin RM500,000 setiap seorang.

Mustafar yakin penahanan mereka akan melengkapkan siasatan yang dijalankan.

Laporan media semalam menyebut SPRM sedang menjalankan siasatan melibatkan projek pembekalan makanan yang tidak menjadi kenyataan meskipun pembiayaan lebih RM30 juta telah dikeluarkan oleh bank dan GLC terbabit.

Difahamkan projek industri makanan ini dijalankan beberapa tahun yang lalu dan dikesan berhadapan dengan masalah di peringkat awal pelaksanaan projek.

Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Abu Kassim Mohamed dipetik media semalam berkata, siasatan yang dijalankan merangkumi pelbagai aspek.

Abu Kassim tidak menafikan siasatan ini merupakan rentetan daripada satu kes yang menarik perhatian orang ramai sebelum ini.

Kes terbaru ini dilihat antara beberapa kes besar melibatkan tokoh syarikat dan penjawat awam yang sedang disiasat oleh SPRM kebekalangan ini.

Siasatan ini dilihat antara kes besar selepas kes yang melibatkan bekas Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Sime Darby, dan dua bekas pengarah Koperasi Permodalan Felda Quality (KPFQ) yang menghadapi 134 tuduhan menipu pegawai bank Malayan Banking Berhad (Maybank) dengan menggunakan dokumen palsu bagi permohonan tuntutan kemudahan 'Banker Acceptance' membabitkan lebih RM67 juta.

Awal Disember lalu, bekas Pengarah KPFQ, Datuk Tan Han Kook, 58, dan bekas Ketua Pegawai Operasi syarikat itu, Ching Siew Cheong, 50, mengaku tidak bersalah melakukan kesalahan menipu pegawai bank Maybank dengan menggunakan dokumen palsu bagi permohonan tuntutan kemudahan 'Banker Acceptance' membabitkan RM67,435,143 kepada tiga syarikat pengusaha makanan, Asia Food Link Sdn Bhd, Violet Bonanza Sdn Bhd dan Stanson Marketing Sdn Bhd

Tiada ulasan: