Selasa, 30 Julai 2013

`Siapa dalang pembunuhan Pengerusi MyWatch’

 
Pemuda PAS mendesak siasatan menyeluruh dibuat mengenai satu percubaan bunuh terhadap pengerusi NGO anti Jenayah MyWatch.



PETALING JAYA: Pemuda PAS mendesak siasatan menyeluruh dibuat mengenai satu percubaan bunuh terhadap pengerusi NGO anti Jenayah MyWatch, R Sri Sanjeevan.

Ini berikutan dakwaan bekas Ketua Polis Negara, Tan Sri Musa Hassan bahawa percubaan bunuh terhadap Sri Sanjeevan mungkin ada kaitan dengan pendedahannya baru-baru ini mengenai dakwaan penglibatan anggota polis dalam sindiket jenayah.

Setiausaha Pemuda PAS, Khairul Faizi Ahmad Kamil menganggap kenyataan Musa itu sebagai sesuatu yang serius.

“Jika benar dakwaan tersebut, ia bermakna ada beberapa pihak yang ‘merasa panas’ dengan pendedahan  Sri Sanjeevan sehingga tergamak mengambil pembunuh upahan menembak beliau.

“Soalnya, siapakah yang berusaha membunuh beliau dan siapakah pula dalang yang mengarahkan beliau dibunuh?” katanya dalam kenyataan media hari ini.

Khairul Faizi menambah, individu berprofil tinggi seperti Sri Sanjeevan sepatutnya dilindungi daripada sebarang cubaan jenayah terhadapnya.

Keberanian wajar dicontohi

Beliau katanya, menghadapi risiko dibunuh ekoran keberaniannya mendedahkan bahawa pegawai polis sendiri terlibat dengan jenayah.

Keberanian beliau wajar dicontohi dan seharusnya banyak pihak lain sanggup ke tengah dalam menegakkan kebenaran tanpa mempedulikan risiko yang bakal diambil, katanya lagi.

“Pendedahan beliau dan jenayah yang berlaku ke atasnya pastinya menggemparkan negara. Cubaan bunuh ke atas beliau menunjukkan bahawa ada beberapa kes besar yang boleh memeranjatkan melibatkan individu atau pihak tertentu cuba untuk dilenyapkan.

“Mungkin beliau memiliki rahsia besar yang perlu disingkapkan bagi pengetahuan umum,” katanya.
Bagaimanapun, Pemuda PAS  mengharapkan penjenayah terbabit segera ditangkap untuk dihadapkan ke muka pengadilan.

Menurutnya, kejadian ke atas  Sri Sanjeevan menunjukkan jenayah membunuh menggunakan senjata api adalah sesuatu yang serius dan Malaysia sudah tidak boleh dianggap selamat.

Tiada ulasan: