Rabu, 31 Julai 2013

Sempena Hari Pahlawan, DAP gesa IPCMC ditubuhkan

OLEH HASBULLAH AWANG CHIK


















Cadangan Suruhanjaya Siasatan Diraja untuk Meningkatkan Operasi dan Pengurusan Polis Diraja Malaysia pada tahun 2005 untuk menubuhan Suruhanjaya Bebas Aduan dan Salah Laku Polis (IPCMC) dapat mengukuhkan kepercayaan awam terhadap Polis Diraja Malaysia (PDRM), kata Zairil Khir Johari (gambar).

Ahli Parlimen DAP Bukit Bendera itu berkata, pelaksanaan  IPCMC bakal meningkatkan tahap profesionalisme dan kebebasan institusi polis daripada campur tangan politik serta daripada terus dipersoalkan.

“Dalam tempoh seminggu, empat kes tembakan dilaporkan termasuk pembunuhan Pengasas AmBank  Hussain Ahmad Najadi, cubaan bunuh ke atas Pengerusi MyWatch R Sri Sanjeevan yang ditembak di Seremban serta dua lagi kes tembakan yang berlaku di Ipoh dan Bukit Mertajam.

 “Kes keganasan senjata api dan kematian dalam tahanan makin kerap berlaku. Pada tahun ini berlaku 12 kes kematian dalam tahanan sementara empat bulan yang terakhir menunjukkan 13 kes keganasan senjata api,” katanya dalam satu kenyataan media hari ini.

The Malaysian Insider melaporkan pada Sabtu, Sanjeevan ditembak di Bahau, Negeri Sembilan oleh dua lelaki India ketika sedang memandu kereta jenis BMW berwarna kelabu.

Hussain pula ditembak mati pada Isnin di kawasan letak kereta di Lorong Ceylon, Kuala Lumpur sementara isterinya cedera terkena tembakan. Hari ini Ketua Polis Negara Tan Sri Khalid Abu Bakar memberi jaminan polis akan mempertingkat penguatkuasaan keselamatan bagi mengatasi jenayah berat yang berleluasa melibatkan pembunuhan menggunakan senjata api dan berharap langkah berkenaan mengembalikan keyakinan rakyat terhadap keselamatan dan keamanan di negara ini

Tiada ulasan: